nuffnang

Saturday 9 March 2013

Pada Suatu Hari Dalam Tahun 1990



Suasana petang itu di Kampung Gong Terap yang terletak di daerah Setiu, Terengganu adalah seperti biasa. Bunyi motosikal yang melalui jalan raya, kicauan burung-burung berterbangan dan suara kanak-kanak yang rancak merancang aktiviti petang menghiasi keadaan pada waktu itu.

Di suatu sudut di kampung itu, sekumpulan empat orang budak-budak dan seorang remaja lelaki rancak bercerita. Lagak mereka seolah merancang sesuatu. Ada seorang budak yang kelihatan lebih dominan daripada keempat yang lain rancak bercakap seolah sedang merangka pelan operasi syarikat Multi Level Marketing.

Selepas itu semua budak-budak itu beredar dan pulang ke rumah masing-masing. Namun selepas lima belas minit, masing-masing keluar semula dan berkumpul di suatu tempat. Hampir semua budak itu membawa beberapa helai pakaian yang dimasukkan dalam bungkusan plastik supaya tidak dicurigai oleh keluarga masing-masing. Cuma seorang sahaja yang dilihat tidak membawa sebarang pakaian.
"Mano Izu?"Tanya seorang dari mereka dalam dialek Setiu-Besut setelah melihat hanya mereka berempat yang ada.

Izu adalah satu-satunya remaja dalam kumpulan budak itu. Tiga daripada mereka berumur 9 tahun, seorang lagi adalah lebih besar badannya dan lebih tua iaitu 12 tahun. Budak 12 tahun itu adalah ketua dalam kumpulan itu. Tidak lama kemudian kelihatan remaja yang dipanggil Izu itu berlari-lari ke arah mereka dengan muka yang pucat seolah dikejar sesuatu. Kumpulan budak itu terperanjat apabila pada jarak kira-kira 500 meter di belakang Izu, mereka terpandang seseorang sedang berlari-lari sambil menjerit-jerit memanggil Izu.

"Eh, mokcik belake (belakang) tuh," Salah seorang budak itu berkata dengan reaksi terkejut melihat keadaan itu. Makcik yang dimaksudkan itu adalah mak kepada Izu. Wanita lingkungan 40-an dan berbadan gempal itu termengah-mengah mengejar Izu sambil menjerit-jerit kuat nama Izu. Wanita itu sungguh terperanjat sebaik melihat Izu keluar tergesa-gesa dari rumah dengan menyandang beg pakaian di bahu. Walaupun tidak senang dengan 'kelurusan' Izu yang secara terangan membawa beg pakaian, kumpulan budak hingusan itu telah bersedia dengan basikal masing-masing.

Sebaik Izu tiba, kumpulan itu terus bergegas dengan mengayuh basikal masing-masing menuju keluar dari kampung Gong Terap.

*********************************************************************************
Tiga hari sebelum kejadian:

"Kito akan gi berguru kat Bukit Keluang,"kata ketua kumpulan budak itu kepada empat yang lain.
"Mun nok nuntut (menuntut) ilmu gapo (apa)?"Tanya ketua kumpulan budak itu.
"Aku nok ilmu terbang", kata salah seorang budak itu.
"Aku nok ilmu kebal", kata yang seorang lagi.
"Aku nok ilmu buleh wat gapo sajo (buat apa sahaja),"kata seorang lagi.

Kumpulan budak mentah ini sangat taksub dengan cerita pendekar yang selalu ditonton di televisyen. Masing-masing berhajat hendak menjadi seorang pendekar. Aktiviti harian mereka ialah berlatih bergaduh dengan lagak seperti pendekar dalam televisyen. Mereka membuat rancangan yang tidak masuk akal iaitu bertapa di sebuah gua di Bukit Keluang yang terletak di daerah Besut yang jaraknya lebih 50 kilometer dari kampung Gong Terap itu.

Gua Bukit Keluang Besut, sebuah kawasan peranginan.
*********************************************************************************
Waktu menunjukkan pukul 7.30 malam. Kumpulan itu telah mengayuh basikal sejauh lebih 10 km melewati Kg. Pak Kancil. Dalam melayani kepenatan masing-masing, tiba-tiba mereka dihalang oleh sebuah kenderaan yang telah memotong dan berhenti betul-betul di depan mereka. Dalam tergamam mereka terlihat beberapa lelaki yang cukup dikenali mereka di kampung keluar dari lori berkapasiti 1 tan itu dan meluru ke arah mereka.
"wei budok, mun nok g mano ni?"Sergah salah seorang dari lelaki-lelaki tersebut.
"nok g berguru (bertapa) kat Bukit Keluang", sahut seorang dari kanak-kanak itu dengan suara terketar-ketar.
"sudoh,naik lori ni," kata lelaki itu lagi dengan nada suara keras.
Malam itu kanak-kanak itu dipaksa menaiki lori 1 tan itu tapi bukan menuju ke Bukit Keluang, tapi ke Pondok Polis Chalok sejauh 5 km dari situ.

Sebelum itu, kira-kira pukul 5.15 petang tadi, sebaik kumpulan budak-budak hingusan itu keluar dari kampung, mak Izu telah memberitahu orang kampung dan keluarga masing-masing tentang hal itu.

Lori 1 tan itu tiba di Pondok Polis Chalok. Kumpulan budak-budak itu terdiam. Masing-masing ketakutan. Selepas 5 minit berada dalam pondok polis, bapa masing-masing tiba. Salah seorang bapa mereka menggertak dengan suara keras untuk menyumbat anaknya dalam penjara. Serentak itu, bertaburanlah air mata budak itu dalam pondok polis itu disusuli teriakan ketakutan dan kekesalan sehingga tiada suara lain yang kedengaran selain suara budak itu. Namun tangisan itu tidak lama selepas masing-masing menyaksikan insiden yang tidak mungkin dapat dilupakan yang berlaku di depan mata masing-masing.

Di suatu sudut di dalam Pondok Polis itu, salah seorang budak-budak itu digertak oleh seorang polis untuk mengkhatankan budak itu dengan satu playar yang besar. Budak itu langsung tidak menunjukkan ketakutan. Tiada suara yang kedengaran dari mulutnya. Polis itu menanggalkan seluar budak itu namun dilihat masih terdapat satu seluar yang dipakai. Dia menanggalkan seluar kedua yang dipakai budak itu, tetapi masih terdapat satu lagi seluar. Lantas polis itu menanggalkan seluar ketiga dengan harapan itu adalah seluar terakhir yang dipakai budak itu. Namun setelah dilihat terdapat satu lagi seluar yang dipakai, masing-masing tidak dapat menahan gelak lagi. Semua yang ada di situ ketawa sampai terkeluar air mata termasuk budak yang menangis tadi. Rupa-rupanya budak itu memakai empat helai seluar sekali gus. Patutlah dia tidak membawa apa-apa pakaian tadi.

Peristiwa itu mencatat sejarah baru bukan sahaja bagi Kampung Gong Terap, tapi mungkin juga bagi mukim Chalok atau daerah Setiu atau negeri Terengganu, oleh sebab belum pernah lagi terjadi sekumpulan budak-budak yang betul-betul nekad melarikan diri dari kampung untuk bertapa di gua demi mempelajari ilmu pendekar.

...dan salah seorang daripada budak-budak itu ialah Arif Adam.






5 comments:

  1. kah3...aku guling2 sakit perut baca...

    ReplyDelete
  2. tept pd wktu baca citer ni.....luas bjik mate dah...hak2...xleh tahan tu...pakai sluar b'lapis2...kreatif2..

    ReplyDelete
  3. mohon share..rebo perut aku tahan nok suko baco..

    ReplyDelete
  4. Terbaik.. dahsyat sejarah hidup ni..

    ReplyDelete
  5. Yang pasti, budak yg diugut khatan tu bkn aku..heheh..dia berkhatan secara normal kt Klinik Dr. Malik, Permaisuri, Setiu bersama aku dan dua lg budak sekampung yang lain. Salah seorang daripada dua budak lain tu pun hampir join kami nk bertapa, tp ditinggalkan mase dia blk rumah nk amik baju dia..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...