nuffnang

Thursday 14 March 2013

Kisah benar di Tahun 2000: Penjual Nasi Lemak

Sekitar pukul 8.00 pagi. Di hujung minggu begini, waktu sebegini dikira masih awal bagi kebanyakan pelajar lelaki. Jadi pagi sebegitu terlalu sunyi di blok kediaman pelajar lelaki di kampus sementara Unimas yang terletak di Samarahan, Sarawak. Hanya beberapa pelajar yang gagah melawan nafsu tidur demi membasuh pakaian.

Seperti biasa, pada hujung minggu sebegitu sepasang suami isteri yang tinggal di kampung berdekatan berjalan-jalan di semua blok kediaman untuk menjaja nasi lemak dan pelbagai kuih. Mereka akan menarik perhatian penghuni blok kediaman pelajar dengan laungan "Nasi lemak,kuih-kuih". Suara si isteri biasanya lebih kuat dan nyaring. Apabila melaungkan "nasi lemak dan kuih-kuih" dan memanjangkan perkataan 'lemak" dan "kuih" dengan kadar 5 harakat, laungan itu kedengaran menyeramkan di pagi-pagi hening begitu. Lalu laungan sebegitu seperti jam loceng yang akan mengejutkan pelajar untuk terjaga dari tidur.

Pada pagi itu, si isteri berjalan melewati satu blok kediaman pelajar lelaki. Dia pun bersiap untuk melaungkan iklan nasi lemak dan kuih-muihnya.
"Nasi lemaaaaakkk....kuih-kuiiiiiiihh...Oppss....Silap.."
Kemudian kedengaran dia ketawa kecil seorang diri. Dengan pantas, dia mula melaungkan skrip baru.
"Nasi lemaak...,nasi lemakkk"
Rupa-rupanya dia tak membawa kuih-kuih pagi itu. 

Di sebalik tingkat sebuah bilik, di tingkat paling bawah kediaman itu, seorang pelajar lelaki tergelak sambil menutup mulut takut makcik itu terdengar. "Aaaaa...lucu makcik ni," katanya dalam hati.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...