nuffnang

Tuesday 19 November 2013

Hujan


Bulan November. Pada waktu penulis masih kanak-kanak, hujung tahun sebegini cukup dinantikan. Pertama, oleh sebab waktu sebegini bermulanya cuti persekolahan hujung tahun yang panjang. Kedua adalah kerana waktu sebegini bermulanya musim tengkujuh. Bagi kami yang biasa dilanda banjir, kedatangan hujan yang berterusan yang melimpahkan air sungai berdekatan ke kawasan rumah kami ibarat pesta hujung tahun. Air banjir yang tidak deras tetapi agak dalam bukanlah ancaman bagi anggapan kami. Masing-masing pandai berenang dan tidak sesekali bermain berdekatan sungai yang memang deras arusnya.

Biasa waktu sebegini kami bermain tiub tayar lori yang dijadikan pelampung dan masing-masing akan naik ke pelampung itu seberapa ramai yang boleh. Ada antara kami yang menjadikan beberapa batang pisang yang diikat dengan tali untuk dijadikan rakit. Ada antara kami berjalan secara berkumpulan meredah jalan raya yang dinaiki air. Ada juga yang meredah dengan basikal walaupun air agak deras.

Bagi penulis, semua itu menjadi kenangan terindah dan hampir mustahil untuk diulangi semula. Sesekali guruh berdentum dan hujan mencurah di luar cermin bilik pejabat penulis di Putrajaya pada waktu sebegini, kenangan waktu kanak-kanak datang kembali mengusik jiwa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...