nuffnang

Monday 18 March 2013

Kisah Seram Di Tepi Kubur: Angkara Durian


Suatu masa dulu, sebatang pokok durian yang berdiri teguh di belakang rumah orang tua mereka di Kampung Gong Terap di daerah Setiu, Terengganu sentiasa menghadirkan cerita gembira setiap kali musim durian tiba. Isi buahnya yang kuning dan manis sentiasa menggamit selera terutama bagi 'hantu durian' seperti dua beradik itu. Namun perjalanan untuk mengutip durian yang gugur akan menguji keberanian si 'hantu durian' itu kerana pokok durian itu berdiri tidak jauh dari tanah perkuburan kampung mereka.

Pagi itu ialah pagi Jumaat. Dua beradik itu bersiap untuk mencari durian yang gugur. Berbekal sebilah golok, mereka meredah laluan berumput di bawah pokok kelapa dan rambutan di belakang rumah mereka. Tidak sampai lima minit berjalan, mereka telah sampai di bawah pokok durian yang tinggi itu. Lalu si abang terus mencari durian yang gugur. Mata si adik tidak dapat memberi fokus kepada durian. Suasana sunyi yang hanya ditemani bunyi unggas membuatkannya tidak tenang. Matanya melilau sekeliling lalu terpandang sesuatu yang berpakaian putih sedang bergerak-gerak di atas tanah perkuburan. Dia terbayang hantu pocong sedang bergolek-golek di atas tanah kubur. Lantas dia memberitahu si abang.

"Hantu.....", jerit mereka serentak.
Ibarat dkejar sekumpulan tebuan, si abang terus meluru laju ke depan dengan muka pucat. Dia terlebih dahulu sampai di rumah. Bukan setakat durian terlepas, sebilah golok kepunyaan bapa mereka yang garang itu pun tercampak entah ke mana.

Selepas kejadian itu, baru si adik tahu rupa-rupanya ada antara ahli keluarga si mati akan menziarahi kubur si arwah pada waktu pagi. Makhluk berbaju putih yang dilihat pada hari kejadian itu adalah salah seorang yang menziarah kubur, bukan hantu pocong. Dia juga terfikir, orang yang bengkeng dan musang macam abangnya rupa-rupanya seorang yang sangat penakut hantu.

Nota: musang (disebut bersabdu pada m) bermaksud pemarah dalam loghat Terengganu dan Kelantan.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...