nuffnang

Monday 4 March 2013

Harga Sekeping Syiling

Pada suatu masa dulu tinggal seorang lelaki bersama isteri dan 3 orang anak-anaknya. Hidup mereka serba kekurangan. Dengan kerja yang tidak tetap dan upah yang tidak seberapa, sukar bagi lelaki ini memenuhi keperluan makanan harian mereka sekeluarga apatah lagi melengkapkan rumah dengan perabot.


Setiap hari yang dilalui dipenuhi oleh rungutan dan keluhan dari mulut lelaki ini. Anak-anaknya telah berhenti sekolah akibat tiada kemampuan untuk membayar yuran persekolahan. Isterinya yang dahulu pendiam berubah sikap menjadi pemarah. Tiada hari yang dilalui tanpa berlaku pentekaran antara suami isteri ini.

Suatu hari, dek tidak tahan dengan tekanan di rumah, lelaki ini keluar dari rumah untuk menenangkan dirinya. Dia berjalan menyusuri kampung-kampung sekitar kawasan rumahnya. Ketika melalui suatu jalan yang sunyi, kakinya tersepak sesuatu. Lantas dia membongkok dan mengutip benda itu. "Ah, sekeping duit syiling lama."katanya. "kemik pulak tu", rungutnya lagi. Walaupun rupa syiling itu buruk pada pandangan matanya, dia tetap ambil syiling tu dan memasukkan ke dalam poket seluarnya. Dia bercadang menukarkan duit syiling itu di sebuah bank di pekan berhampiran. Namun pegawai bank itu mencadangkan dia menukarkan duit syiling itu di kedai pengumpul wang lama.

Dia terus ke kedai pengumpul wang lama. Alangkah terkejutnya dia apabila pengumpul wang lama menawarkan RM 350.00 sebagai nilai pertukaran duit syiling lama itu. Dia tidak menyangka sebanyak itu nilai sekeping duit lama yang kemik dan buruk pada pandangan matanya itu. Tanpa berfikir panjang dia terus menukarkan duit syiling itu. "Mudahnya,"katanya dalam hati.

Dia mencongak-congak apa yang perlu dibuat dengan duit yang diterimanya. Dalam perjalanan pulang dia melintasi sebuah kedai perkakas. Dia melihat ada kayu yang dijual pada harga yang rendah. Dia terfikir untuk membuat rak dengan kayu-kayu itu oleh sebab isterinya selalu merungut tiada perkakas di rumahnya untuk meletakkan pasu-pasu. Lalu dengan dengan membayar RM5.00, dia membeli kayu-kayu itu dan memikulnya untuk pulang.

Dalam perjalanan dia melintasi sebuah bengkel pembuat perabot. Pembuat perabot itu telihat kayu yang dipikul lelaki itu. Menyedari kayu itu tinggi mutunya, pembuat perabot itu menawarkan nilai RM10.00 untuk membeli kayu itu. Walaupun pada mulanya ragu-ragu, lelaki itu akhirnya bersetuju dan dia menggunakan duit untuk membeli sebuah perabot yang telah siap di kedai itu. Dia meminjam sebuah kereta sorong dari pembuat perabot itu untuk membawa perabot itu ke rumahnya.

Di pertengahan perjalanannya, dia melintasi sebuah kawasan perumahan baru. Seorang wanita yang sedang menghias rumah barunya, melihat perabot yang dibawa lelaki itu dan berminat membelinya pada harga RM20.00. Apabila menyedari lelaki itu keberatan, dia menawarkan harga sebanyak RM25.00. Lelaki itu akhirnya setuju dan kemudian memulangkan kereta sorong ke bengkel pembuat perabot tadi.

Lelaki itu sampai di rumah dan mengira wang yang ada di poketnya. Semuanya RM380 melebihi RM350 yang diperoleh pada awalnya. Dia seakan tidak percaya mendapat wang sebanyak itu. Dengan gembira dia memberitahu hal itu kepada isterinya. Dia menggunakan wang itu untuk membeli makanan yang enak dan peralatan pertukangan. Lelaki itu akhirnya menjadi tukang membaik pulih rumah penduduk di kampungnya.

Mengapa manusia harus resah dan mengeluh dengan kehidupan ini? Sedangkan burung-burung yang berterbangan tanpa bantuan manusia dilindungi tuhan, apatah lagi manusia sebagai makhluk yang tinggi darjatnya. Rezeki yang tuhan bagi adalah luas dan ada ketikanya tanpa disangka-sangka. Cuma bukan semuanya mudah dan turun begitu sahaja seperti hujan mencurah dari langit. Ibarat memecahkan buluh untuk menikmati lemang di dalamnya, kita semua tidak mungkin boleh mendapatkan sesuatu dengan mudah, selain berdoa dan berusaha untuk mencapai sesuatu yang kita kejar itu.
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...