nuffnang

Monday 18 March 2013

Kerana Bayi Ini Anakku

Suasana perkampungan di kaki gunung itu aman damai. Penduduk di situ rajin mengusahakan pertanian dan mengutip hasil-hasil hutan berdekatan. Kehidupan yang serba mencukupi itu rupa-rupanya menarik perhatian sekumpulan 'lanun darat' yang tinggal di luar perkampungan itu. Kumpulan manusia ini suka merampas dan melarikan hasil pertanian dari perkampungan lain ke puncak gunung itu yang dijadikan tempat untuk mengumpulkan segala hasil rampasan.

Suatu hari kumpulan manusia tidak berhati perut itu telah menyerang dan merompak harta benda penduduk kampung itu. Mereka membawa segala hasil pertanian ke puncak gunung. Mereka turut melarikan seorang bayi yang comel untuk dijual.

Penduduk di situ pun berpakat untuk mencari dan membawa balik bayi berkenaan. Sekumpulan pemuda kampung dihantar ke puncak gunung itu. Perjalanan ke puncak gunung sungguh mencabar. Hutan yang terlalu tebal dan binatang buas sentiasa menganggu perjalanan ke sana. Selepas sehari perjalanan, kumpulan berkenaan pulang dengan hampa. Tiada siapa mampu sampai ke puncak gunung. Kumpulan kedua pula dihantar. Kali ini diberi kelengkapan senjata dan makanan yang mencukupi. Namun kumpulan ini juga pulang dengan kecewa. Penduduk kampung hampir berputus asa.

Dalam kebuntuan memikirkan cara untuk sampai ke puncak gunung itu, tiba-tiba penduduk kampung tertumpu kepada seseorang yang sedang berjalan keluar dari hutan tebal menuju ke kampung itu.

Orang yang sedang menuju ke kampung itu ialah seorang perempuan. Kelihatan kesan luka yang masih berdarah di kaki dan tangannya. Namun di wajahnya yang lemah itu tetap terpancar perasaan gembira. Dia berjalan perlahan-lahan ke arah penduduk kampung yang sedang berkumpul sambil mengendong seorang bayi. Penduduk kampung berasa terharu. Namun mereka hairan memikirkan bagaimana seorang perempuan boleh mendaki gunung itu sedangkan dua kumpulan pemuda gagah perkasa gagal melakukan.
"Bagaimana kau melakukan?"tanya salah seorang dari mereka.
"Aku akan melakukan apa sahaja, kerana bayi ini ialah anakku,"jawab perempuan itu.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...