nuffnang

Wednesday, 6 March 2013

Ronaldo Luiz Nazario da Silva: Sumber Inspirasi Daripada Seorang Lagenda


Dia merupakan salah seorang lagenda bola sepak tersohor di dunia. Berbekalkan kemahiran menggelecek yang hebat, larian yang pantas dan sentuhan penyudah yang berbisa, pemain ini sentiasa menghadirkan mimpi ngeri kepada pemain-pemain pertahanan di dunia semasa eranya.

Prestasi yang memuncak semasa mewakili kelab Barcelona membolehkan pemain ini dipilih sebagai pemain terbaik dunia pada 1996 dan 1997 sebelum menyertai Inter Milan pada 1998.

Ronaldo dan Brazil hadir ke Pentas Piala Dunia 1998 dengan reputasi hebat sebagai pemain terbaik dunia dan juara bertahan Piala Dunia. Segalanya tampak Piala Dunia menjadi milik mereka sekali lagi sehinggalah malapetaka menimpa Ronaldo dan Brazil pada perlawanan akhir menentang Perancis.



Pada pagi sebelum perlawanan akhir, dia dikatakan diserang sawan dan tidak cergas untuk beraksi. Walau pun bergelut dengan masalah kecergasan, Ronaldo tetap diturunkan dan akhirnya dia gagal mempamer aksi diharapkan. Pada perlawanan akhir itu, Brazil tewas dan gagal mepertahankan Piala Dunia yang dimenangi mereka pada 1994. 

Selepas itu nasib malang seolah terus menghantui Ronaldo. Rentetan bermula pada  21 November 1999 ketika beraksi dalam perlawanan Serie A menentang Lecce yang merekodkan kecederaan lutut yang serius dialami Ronaldo sehingga terpaksa diusung keluar padang. Ujian perubatan mengesahkan pemain itu memerlukan pembedahan, sekaligus mengetepikannya daripada sebarang pertandingan antarabangsa selama empat bulan.



Dia kembali untuk perlawanan pertamanya pada 12 April, 2000 menentang Lazio dalam final Coppa Italia tetapi hanya untuk menyaksikannya beraksi hanya enam minit sebelum dia kembali mengalami kecederaan lutut dan terpaksa meninggalkan padang dengan kesakitan dan kehampaan. Pengesahan doktor terhadap kecederaan itu sungguh pahit untuk ditelan Ronaldo. Dia mengalami kecederaan lutut yang sama yang memberi ancaman yang besar terhadap karier bolasepaknya. Ramai peminat yang menyangka masa depannya selaku pemain bolasepak profesional akan berakhir.

Namun pada 2002, Jurulatih Brazil Luiz Felipe Scolari kemudian membuat keputusan berisiko dengan menyenaraikan pemain itu dalam skuad Piala Dunia di Korea/Jepun.

Meskipun ramai yang meragui kemampuannya ketika itu terutamanya tahap kecergasan yang kurang meyakinkan, dia berjaya membantu Brazil merangkul Piala Dunia kelima dan menjadi penjaring terbanyak kejohanan dengan sembilan gol dalam tujuh perlawanan



Kejayaan Ronaldo mampu memberi inspirasi kepada sesiapa jua yang melalui detik-detik sukar dalam hidup untuk tidak berputus asa dan terus berjuang sehingga mencapai apa yang dihajatkan.


Tuesday, 5 March 2013

Apabila Kambing Memanggil Harimau Untuk Hapuskan Biri-Biri

Di suatu tempat di pinggir sebuah hutan, tinggal sekumpulan biri-biri dan kambing. Dua kumpulan haiwan ini sering bergaduh kerana berebut makanan yang sama.

Oleh sebab tidak puas hati, ketua kumpulan kambing merancang sesuatu untuk menghapuskan kumpulan biri-biri ini. Tanpa pengetahuan kumpulan biri-biri itu, dia masuk ke dalam hutan berdekatan secara senyap. Dia meminta bantuan seekor harimau untuk masuk ke kawasan mereka dan membaham semua biri-biri itu. Untuk tidak menimbulkan kekecohan dia mensyaratkan harimau itu supaya membunuh seekor biri-biri sahaja setiap hari dan mesti dilakukan pada waktu malam.

Maka pada hari-hari berikutnya, bilangan biri-biri pun semakin berkurangan dan akhirnya langsung tiada. Hal ini sangat menggembirakan kambing-kambing itu. Mereka sangat memuji kecerdikan ketua mereka. Namun suasana kebingungan mula menyelubungi kumpulan kambing itu. Satu persatu ahli kumpulan mereka lesap. Setiap hari anggota kumpulan mereka berkurang hingga akhirnya tinggal si ketua itu sahaja.

Walaupun kehairanan, si ketua itu menjalani kehidupan seperti biasa. Dalam hatinya tetap gembira kerana dapat menikmati makanan tanpa perlu berebut dengan kambing-kambing lain.

Pada suatu malam seperti biasa dia bersiap untuk tidur. Namun tiba-tiba......................


Akhirnya si ketua kambing itu pun terkorban. Sehingga detik nyawa terakhirnya, dia masih tidak tahu selama ini harimau itulah yang menjadikan kambing-kambing di situ sebagai juadah makan malam. Di saat lehernya ditusuk dalam oleh sepasang taring harimau itu, dia masih tidak tahu kambing juga adalah makanan harimau itu dan bukan biri-biri sahaja.




Monday, 4 March 2013

Harga Sekeping Syiling

Pada suatu masa dulu tinggal seorang lelaki bersama isteri dan 3 orang anak-anaknya. Hidup mereka serba kekurangan. Dengan kerja yang tidak tetap dan upah yang tidak seberapa, sukar bagi lelaki ini memenuhi keperluan makanan harian mereka sekeluarga apatah lagi melengkapkan rumah dengan perabot.


Setiap hari yang dilalui dipenuhi oleh rungutan dan keluhan dari mulut lelaki ini. Anak-anaknya telah berhenti sekolah akibat tiada kemampuan untuk membayar yuran persekolahan. Isterinya yang dahulu pendiam berubah sikap menjadi pemarah. Tiada hari yang dilalui tanpa berlaku pentekaran antara suami isteri ini.

Suatu hari, dek tidak tahan dengan tekanan di rumah, lelaki ini keluar dari rumah untuk menenangkan dirinya. Dia berjalan menyusuri kampung-kampung sekitar kawasan rumahnya. Ketika melalui suatu jalan yang sunyi, kakinya tersepak sesuatu. Lantas dia membongkok dan mengutip benda itu. "Ah, sekeping duit syiling lama."katanya. "kemik pulak tu", rungutnya lagi. Walaupun rupa syiling itu buruk pada pandangan matanya, dia tetap ambil syiling tu dan memasukkan ke dalam poket seluarnya. Dia bercadang menukarkan duit syiling itu di sebuah bank di pekan berhampiran. Namun pegawai bank itu mencadangkan dia menukarkan duit syiling itu di kedai pengumpul wang lama.

Dia terus ke kedai pengumpul wang lama. Alangkah terkejutnya dia apabila pengumpul wang lama menawarkan RM 350.00 sebagai nilai pertukaran duit syiling lama itu. Dia tidak menyangka sebanyak itu nilai sekeping duit lama yang kemik dan buruk pada pandangan matanya itu. Tanpa berfikir panjang dia terus menukarkan duit syiling itu. "Mudahnya,"katanya dalam hati.

Dia mencongak-congak apa yang perlu dibuat dengan duit yang diterimanya. Dalam perjalanan pulang dia melintasi sebuah kedai perkakas. Dia melihat ada kayu yang dijual pada harga yang rendah. Dia terfikir untuk membuat rak dengan kayu-kayu itu oleh sebab isterinya selalu merungut tiada perkakas di rumahnya untuk meletakkan pasu-pasu. Lalu dengan dengan membayar RM5.00, dia membeli kayu-kayu itu dan memikulnya untuk pulang.

Dalam perjalanan dia melintasi sebuah bengkel pembuat perabot. Pembuat perabot itu telihat kayu yang dipikul lelaki itu. Menyedari kayu itu tinggi mutunya, pembuat perabot itu menawarkan nilai RM10.00 untuk membeli kayu itu. Walaupun pada mulanya ragu-ragu, lelaki itu akhirnya bersetuju dan dia menggunakan duit untuk membeli sebuah perabot yang telah siap di kedai itu. Dia meminjam sebuah kereta sorong dari pembuat perabot itu untuk membawa perabot itu ke rumahnya.

Di pertengahan perjalanannya, dia melintasi sebuah kawasan perumahan baru. Seorang wanita yang sedang menghias rumah barunya, melihat perabot yang dibawa lelaki itu dan berminat membelinya pada harga RM20.00. Apabila menyedari lelaki itu keberatan, dia menawarkan harga sebanyak RM25.00. Lelaki itu akhirnya setuju dan kemudian memulangkan kereta sorong ke bengkel pembuat perabot tadi.

Lelaki itu sampai di rumah dan mengira wang yang ada di poketnya. Semuanya RM380 melebihi RM350 yang diperoleh pada awalnya. Dia seakan tidak percaya mendapat wang sebanyak itu. Dengan gembira dia memberitahu hal itu kepada isterinya. Dia menggunakan wang itu untuk membeli makanan yang enak dan peralatan pertukangan. Lelaki itu akhirnya menjadi tukang membaik pulih rumah penduduk di kampungnya.

Mengapa manusia harus resah dan mengeluh dengan kehidupan ini? Sedangkan burung-burung yang berterbangan tanpa bantuan manusia dilindungi tuhan, apatah lagi manusia sebagai makhluk yang tinggi darjatnya. Rezeki yang tuhan bagi adalah luas dan ada ketikanya tanpa disangka-sangka. Cuma bukan semuanya mudah dan turun begitu sahaja seperti hujan mencurah dari langit. Ibarat memecahkan buluh untuk menikmati lemang di dalamnya, kita semua tidak mungkin boleh mendapatkan sesuatu dengan mudah, selain berdoa dan berusaha untuk mencapai sesuatu yang kita kejar itu.
 

Masalah Oh Masalah

Seorang ahli perniagaan pergi ke sebuah pulau di sebuah negeri dengan menaiki sebuah pesawat untuk berjumpa dengan seorang prospek pelanggannya di sana. Dia bercadang berada di sana selama lima hari. Pada hari pertama dan kedua segalanya berjalan lancar. Namun pada hari ketiga, tiba-tiba dia mendapat panggilan telefon dari seorang kakitangan di pejabat. Dia diberitahu bahawa pejabatnya telah dipecah masuk dan banyak aset syarikat telah hilang. Berita itu sangat mengejutkan. Dia berasa risau dan  tidak bersemangat untuk meneruskan agendanya di pulau berkenaan dan ingin segera pulang ke pejabatnya.


Dia terus menelefon syarikat penerbangan untuk menempah tiket. Namun dia diberitahu penerbangan seterusnya untuk keluar dari pulau itu ialah pada hari ahad iaitu dua hari berikutnya. Apakah yang mampu dia lakukan?Adakah dia tidak mampu berbuat apa-apa selain termenung dan gelisah sementara menunggu hari penerbangan?Adakah dia akan resah gelisah sehingga sanggup membatalkan agenda untuk memajukan perniagaannya di pulau itu?


Hakikatnya, tiada apa yang mampu dilakukan lelaki itu untuk kembali ke pejabat dengan segera selain hanya mampu berdoa supaya tiada perkara lebih teruk berlaku kepada syarikatnya. Perkara yang terjadi telah pun terjadi dan dia tidak mampu untuk berada pejabatnya. Sebenarnya terdapat masalah yang tidak akan selesai walaupun seseorang itu berfikir dari malam sampai pagi selama beberapa hari. Dalam kes seperti ini, bertenang dan berdoa adalah ubat paling mujarab.

Saturday, 2 March 2013

Kisah Tikus, Lembu dan Ular: Siapa Yang Kena?

Di suatu kawasan berhampiran rumah sepasang petani, tinggal sekumpulan tikus dan beberapa haiwan lain. Tikus itu selalu merosakkan makanan petani. Kumpulan haiwan ini selalu meredah masuk ke dapur rumah petani tersebut semasa ketiadaan tuan rumah untuk mencuri makanan. Suatu hari sepasang petani tersebut keluar ke pekan.

"Jom kawan-kawan,mereka dah keluar,kita redah..."
Seperti biasa kesempatan ini diambil oleh sekumpulan tikus itu untuk meredah dapur rumah petani itu untuk mencari makanan. Kebetulan hari itu, petani tersebut terlupa menutup pintu gerobok yang menyimpan makanan mereka dan peluang ini tidak dilepaskan oleh tikus-tikus itu untuk berpesta dan menikmati makanan itu. Dalam keseronokan menjamu selera, sepasang petani pun pulang. Tikus-tikus yang terkejut bertempiran lari kecuali seekor yang tertinggal. Tikus itu lari menyorok ke bawah meja tanpa disedari oleh petani itu. Tikus itu memerhati petani itu mengeluarkan makanan dari bungkusan plastik yang dibeli. Makanan yang dikeluarkan menyebabkan tikus hampir meleleh air liur dan mula memasang rancangan untuk mencuri pada waktu lain. Setelah asyik memerhati satu persatu makanan dikeluarkan, tiba-tiba tikus tu terkedu apabila melihat barang terakhir yang dikeluarkan oleh petani tersebut.

Barang itu ialah perangkap tikus.

Tikus itu terkejut. Setelah petani tu keluar dari dapur, tikus itu terus melarikan diri dan memberitahu kawan kawannya tentang perangkap itu. Namun mungkin disebabkan kekenyangan, tikus-tikus yang lain tidak mengambil endah terhadap tikus itu. Tikus itu tidak berpuas hati.

Tikus itu pergi menemui itik dan memberitahu tentang perangkap itu dan menyuruhnya berhati-hati.
Kata itik,"Mana mungkin petani itu mahu menangkap aku, kan dia suka telur aku ini."

Tikus itu berasa kecewa. Lalu dia berjumpa dengan seekor ular dan memberitahu tentang perangkap itu.
"Tidak mungkin perangkap itu untuk menangkap ular..lagipun badan aku terlalu besar untuk masuk ke perangkap itu," ular itu berkata.

Tikus masih tidak berpuas hati. Dia bergegas menemui seekor lembu dan memberitahu hal tersebut.
Dengan penuh sombong lembu itu mengajukan soalan, "Adakah kau tidak boleh membezakan antara perangkap tikus dengan perangkap lembu?"

Tikus berputus asa dan terus pulang ke rumah. Malam itu, ketika kawan-kawan lain sedang tidur, tikus itu tiba-tiba terdengar suara petani di dapur rumah. Tikus itu perlahan-lahan ke dapur rumah untuk mengetahui apa yang terjadi. Terperanjat tikus itu apabila melihat ular yang ditemuinya tadi terperangkap dan tersepit dalam perangkap tikus itu. Ular itu meronta-ronta untuk melepaskan diri. Isteri petani itu yang bergegas ke dapur setelah medengar suara bising dari suaminya tanpa disangka telah dipatuk ular itu. Petani itu tak sempat menyelamatkan isterinya lalu isterinya meninggal dunia. Dengan penuh marah, petani itu memukul ular tersebut hingga mati.

Selama beberapa hari, petani tersebut berkabung akibat terlalu sedih. Demi membalas budi penduduk kampung yang menguruskan jenazah isterinya, petani itu ingin mengadakan kenduri untuk menjamu mereka. Lalu petani itu menyembelih lembu tadi untuk dijadikan laut.

Oleh sebab sikap tidak mengambil hirau dan tidak berhati-hati, ular yang tidak berkaitan dengan perangkap tikus itu telah terkorban. Tanpa disangka juga, lembu pun terheret sama terkorban.

Itik berkata,"mujur aku tak masuk  ke dalam dapur rumah,"
Jadi, siapa yang kena?

Friday, 1 March 2013

Burung Rajawali : Episod 2

Pada usia 40 tahun, paruh burung Rajawali berubah menjadi terlalu panjang dan bengkok hingga menyukarkan burung ini untuk mengoyak daging mangsanya. Kukunya bengkok hingga sukar mencengkam dan bulu-bulu pada bahagian punggung dan sayap menjadi tebal dan tidak sekata hingga sukar untuk terbang tinggi. Pada saat ini, burung Rajawali harus memutuskan sama ada menunggu hari kematian atau melalui proses menyakitkan untuk meneruskan hidup sehingga 30 tahun lagi. Namun untuk meneruskan hidup, tiada jalan mudah. Burung Rajawali harus terbang ke puncak gunung untuk melalui proses pemulihan keadaan fizikalnya selama 150 hari dan di sana, kesakitan dan kesengsaraan sedang menunggu.

Peringkat permulaan yang dilakukan adalah mematahkan paruh yang terlalu panjang dan bengkok dengan menghentak paruh ke batu hingga patah. Proses yang 'kejam' ini sangat menyakitkan hingga mengeluarkan darah. Proses pertumbuhan paruh yang baru mengambil masa beberapa hari. Setelah paruh baru tumbuh, burung Rajawali mencabut kuku kaki yang sudah bengkok dengan paruhnya satu persatu. Proses pertumbuhan kuku baru mengambil masa lebih lama berbanding paruh dan sudah pasti sangat menyakitkan serta mengeluarkan darah. Setelah kuku yang baru tumbuh, burung Rajawali melalui proses terakhir iaitu mencabut bulu di bahagian punggung dan sayap yang terlalu tebal dan tidak sekata.

Setelah berjaya melalui proses pemulihan selama 150 yang penuh sengsara, burung Rajawali muncul dengan tubuh baru dan membolehkan hayatnya dipanjangkan selama 30 tahun lagi.

Apakah terdapat suatu nilai yang boleh kita ambil dari kisah derita burung Rajawali ini?Sudah tentu ada sesuatu yang bernilai.


Pahit Pun Madu

Ramai daripada kita suka perkara yang seronok, yang menggembirakan dan manis dalam hidup. Namun kehidupan manusia penuh warna warni. Ada banyak kepahitan dari kemanisan. Kita harus menerima kepahitan kerana dalam kepahitan itu banyak mengandungi penawar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...