nuffnang

Tuesday, 3 December 2013

Kritikan


Sebagai orang Melayu, penulis tidak malu untuk mengatakan tentang satu sikap negatif yang lazim wujud dalam masyarakat kita iaitu suka mengkritik tapi tidak berani atau sanggup untuk memikul tanggungjawab. Kita biasanya mudah nampak kesalahan orang lain walau sekecil mana pun dan mengambil peluang itu dengan mengkritik tanpa asas yang membina. Namun, jika ditawarkan memikul tanggungjawab orang yang dikritik itu, tidak ramai yang berani menonjolkan diri. Usah bercakap soal kepimpinan tertinggi negara, kita pandang sahaja tanggungjawab mentadbir satu-satu jawatan dalam jabatan. Penulis mengambil contoh perihal penulis sendiri. Tugasan penulis ialah menyelaras suatu tugasan dalam satu Kementerian di Putrajaya. Tugasan ini adalah kritikal disebabkan kekurangan minat dan ketidaksanggupan pegawai-pegawai di negeri-negeri untuk mengambil tanggungjawab ini walaupun diberikan peluang. Namun di sebalik semua itu, ada di kalangan pegawai-pegawai tersebut yang berkelakuan 'sangat tahu dalam segala hal' namun menolak bila diberi peluang menggalas tanggungjawab.

Ada kalangan kita terlalu mudah melihat kelemahan orang lain, namun pada masa yang sama menutup mata dari melihat kelemahan diri sendiri. Banyak kalangan kita yang pandai bercakap dan memberi pendapat, namun tidak sanggup bergerak ke hadapan untuk melaksanakan apa yang dicadangkan. Ramai antara kita yang lantang mengkritik pemimpin, namun tidak ramai yang sanggup ke depan untuk memimpin.

Mungkinkah orang kita memang begitu?

Tuesday, 19 November 2013

Hujan


Bulan November. Pada waktu penulis masih kanak-kanak, hujung tahun sebegini cukup dinantikan. Pertama, oleh sebab waktu sebegini bermulanya cuti persekolahan hujung tahun yang panjang. Kedua adalah kerana waktu sebegini bermulanya musim tengkujuh. Bagi kami yang biasa dilanda banjir, kedatangan hujan yang berterusan yang melimpahkan air sungai berdekatan ke kawasan rumah kami ibarat pesta hujung tahun. Air banjir yang tidak deras tetapi agak dalam bukanlah ancaman bagi anggapan kami. Masing-masing pandai berenang dan tidak sesekali bermain berdekatan sungai yang memang deras arusnya.

Biasa waktu sebegini kami bermain tiub tayar lori yang dijadikan pelampung dan masing-masing akan naik ke pelampung itu seberapa ramai yang boleh. Ada antara kami yang menjadikan beberapa batang pisang yang diikat dengan tali untuk dijadikan rakit. Ada antara kami berjalan secara berkumpulan meredah jalan raya yang dinaiki air. Ada juga yang meredah dengan basikal walaupun air agak deras.

Bagi penulis, semua itu menjadi kenangan terindah dan hampir mustahil untuk diulangi semula. Sesekali guruh berdentum dan hujan mencurah di luar cermin bilik pejabat penulis di Putrajaya pada waktu sebegini, kenangan waktu kanak-kanak datang kembali mengusik jiwa.

Wednesday, 18 September 2013

Layang-layang Terbang Menentang Arah Angin..


Masa berlalu begitu pantas. Kesibukan membuatkan kita seolah tidak sedar usia kita kian meningkat. Sedar atau tidak kita sebenarnya semakin tua seiring dengan peredaran masa. Hari demi hari berlalu. Tidak semua jalan yang dilalui setiap hari lurus bentuknya. Pastinya ade selekoh dan liku-liku. Pastinya ada duri-duri yang menanti di sepanjang jalan. Yang pasti, cabaran tetap menanti sama ada di jalan yang lurus atau tersembunyi di sebalik selekoh. Ya, cabaran.

Ramai orang tidak begitu gembira dengan cabaran. Ramai yang hendakkan hidup yang mudah. Ramai yang mempunyai mimpi. Ramai juga yang hendakkan mimpi menjadi kenyataan. Lebih ramai yang mahu mimpi mereka menjadi nyata dengan mudah.

Namun kehidupan bukan begitu. Kita boleh mimpikan apa yang kita mahu. Namun tidak semua yang boleh menjadi nyata. Ada mimpi yang menjadi nyata namun tidak semua boleh diperoleh semudah mengerlipkan mata. Namun selagi kita makhluk yang masih bernafas, harapan tidak boleh terpadam. Selagi mampu, cita-cita wajar dikejar dan digapai.

Yang pastinya kehidupan itu sendiri bukan sesuatu yang mudah. Sejak kecil lagi kita diajarkan dengan kesukaran dan cabaran. Kita lahir dari rahim ibu dalam semua kesukaran. Proses kejadian kita sendiri adalah sesuatu yang sangat mencabar. Kita adalah satu daripada berjuta-juta sperma yang saling bersaing dan berjuang untuk bercantum dengan satu ovum. Ya, kita berjaya sebab satu sperma daripada berjuta-juta sperma itu adalah sel asal yang membentuk kita menjadi manusia. Proses kelahiran kita juga bukan sesuatu yang mudah. Bahkan berapa ramai ibu-ibu yang terputus nafas dalam melahirkan seorang anak. Kita berjaya dilahirkan di dunia melalui perjuangan yang sangat memeritkan.

Perubahan dari alam bayi ke alam kanak-kanak dan seterusnya menjadi dewasa juga adalah sebuah perjuangan. Kita sudah pasti tidak dapat mengingati apa yang berlaku di alam awal kanak-kanak kita. Tetapi alam menyaksikan seorang kanak-kanak kecil jatuh berkali-kali di saat kakinya melangkah untuk berjalan sendiri. 

Hidup adalah perjuangan. Di saat kita terduduk menyaksikan impian kita menjadi kabur atau mimpi kita masih belum menjadi nyata, cuba kita merenung dan berfikir sejenak. Layang-layang misalnya. Kita pernah bermain layang-layang atau sekurang-kurangnya melihat layang-layang dimainkan. Layang-layang terbang bila angin bertiup. Namun layang-layang terbang bukan mengikut arah angin tetapi menentang arah angin. Dengan perkataan lain ialah menongkah arus. Bermakna, itu adalah perjuangan melawan cabaran atau menghadapi cabaran. Orang yang berjaya menghadapi cabaran akan menyaksikan mimpi-mimpi dia menjadi nyata, satu persatu ataupun sekurang-kurangnya dia berjuang menggapai impiannya. Bukan untuk menyaksikan impiannya menjadi kabur atau gugur satu demi satu.

Teruskan usaha menggapai impian.

Monday, 19 August 2013

Memburu Impian


Ada sesetengah orang kadangkala dihantui ketakutan, kerisauan dan kebimbangan yang tidak pasti. Mereka suka merancang sesuatu dan berangan untuk mendapatkan sesuatu, namun apabila memikirkan risiko yang bakal ditempuh, serta merta perancangan terbatal dan impian terpadam. Mereka suka membina mimpi, merancang mimpi menjadi nyata namun yang nyata mereka takut berdepan cabaran.

Ketakutan..

Kerisauan..

Kebimbangan...

"Aku minat berniaga, tapi aku takut rugi"

"Aku ingin berjaya dan berusaha, api aku takut aku gagal dan kecewa"

"Aku ingin berlari, tapi aku takut jatuh dan cedera"

"Aku takut"

"Aku takut"

dan

"Aku takut"

****************************************************

Ada pula sesetengah orang yang degil dengan diri sendiri. Degil dengan pujukan 'ketakutan' dalam diri. Degil dengan 'kebimbangan' yang sentiasa menyediakan 'blok-blok' kukuh dalam pemikiran untuk berfikir secara luar biasa. Orang-orang seperti ini akan mengambil tindakan yang luar kebiasaan dan hasilnya akan melebihi orang-orang biasa.

Ya luar dari biasa.

Yang sederhana adalah biasa. Kaya dan berjaya adalah luar biasa.
Tidak mengambil risiko adalah biasa. Mengambil risiko adalah luar biasa.
Tidak mengambil risiko bermakna tidak melakukan apa-apa. Tidak melakukan apa-apa bermakna tidak berjaya. Mengambil risiko bermakna melakukan sesuatu dan tindakan itu adalah menuju ke kejayaan.

***************************************************

Ayuh, ketepikan ketakutan dan kebimbangan melampau dalam pemikiran.

Mulakan langkah untuk memburu impian yang kita bina.

Wednesday, 24 July 2013

Corat Coret: Pil Kuda dan Keruntuhan Generasi Muda

Kami membesar bersama di sebuah perkampungan yang indah dan permai. Kami bermain dan bergurau bersama. Kami sama-sama dikejar sekumpulan ayam api garang di kampung kami pada saban hari. Kami sama-sama memanjat pagar rumah penduduk kampung kami dan mencuri buah koko tatkala malam menjelma. Dan kami dan beberapa yang lain juga sama-sama dikejar tuan rumah semasa asyik menikmati buah koko dalam pagarnya. Kami sama-sama bertempiaran lari tanpa toleh ke belakang hinggalah sampai ke pasar malam kampung kami. Di pasar malam itulah kami ditanya soalan cepu emas oleh seseorang di belakang kami, "mun ko curi koko aku?" dan bila kami menoleh dan terpandang  tuan rumah, kami sama-sama tercengang tak terkata apabila memikirkan kami telah sampai ke kawasan selamat tanpa pengetahuan tuan rumah.

Masa berlalu dan berlalu. Putaran bumi memang tak terasa hingga membawa kami ke usia dewasa. Kami memilih haluan hidup berbeza.

Penulis tidak mendengar sebarang perkhabaran dan cerita tentangnya sehinggalah mendapat mesej WhatsApp dari adik penulis pada suatu malam....

"Mu kenal dop ****"

"Kenal"

"Tu saeng (kawan) mu tu
Mati dh"

"Taw dop"

"Yo ko
Bilo"

"Sbb overdos pil
X slp aku 2 bln lps
Buih mulut sbb overdose"

Penulis termenung sekejap. Penulis tidak pasti berapa ramai lagi generasi muda kampung kami akan terikut jejak langkah itu dan memilih kematian dengan cara sebegitu. Tapi yang pasti generasi muda kampung kami dan kampung berhampiran yang terjebak dengan ketagihan pil kuda ini semakin membimbangkan.Yang pasti juga, mereka yang terjebak sukar dipulihkan. Pengedar ada di mana-mana sahaja. Mereka tetap mencari pil kuda atau tetap dicari pengedar pil kuda.

Penulis juga hairan. Kenapa masalah ini tidak dibendung dari puncanya? Punca yang nyata adalah pengedaran pil berkenaan. Ada beberapa yang disebut-sebut sebagai pengedar, namun seolah dipandang sepi. Tiada tindakan konkrit. Jawapan klise ialah menyalahkan ibu bapa. Ya ,kita boleh menyalahkan ibu bapa. Tapi adilkah? Kalaulah mereka mempunyai 15 anak.14 berjaya, berkerjaya dan berkeluarga bahagia. Tiba-tiba seorang terjebak dengan penagihan pil. Apakah signifikannya menyalahkan ibu bapa 100 peratus? Sudah tentu tidak. Ini bermakna faktor luaran yang mengundang punca yang lebih kuat.

Hakikatnya, masalah yang berlaku sekarang persis nasi menjadi bubur. Hajat di hati ingin menanak nasi. Lauk pauk sudah tersedia. Terlanjur memasak, nasi bertukar menjadi bubur. Jadi, wajarkah lauk-pauk tadi dibuang oleh kerana nasi tiada?Bagi orang yang tau berfikir, sudah tentu bubur itulah akan diinovasikan bersama lauk-pauk tadi untuk menjadi menu baru bagi mereka.

Jadi masalah sekarang ialah ramai sudah terjebak. Pulihkan penagihan dan sekat pengedaran pil-pil khayal seperti ini. Di sini memang memerlukan kerjasama semua pihak, ibu-bapa, penduduk kampung, pihak berkuasa dan wakil yang dipilih oleh rakyat di kawasan berkenaan. Bertindaklah atau tunggu sahaja keruntuhan generasi muda satu persatu.



Tuesday, 16 July 2013

3 Pandangan...Pandang Sahaja Dapat Pahala


Pertama : Wajah Ibu
Ibu merupakan orang yang paling hampir dengan kita. Dari rahimnya kita dilahirkan. Dari air susunya kita dibesarkan. Insan yang tidak rasa jijik membersihkan najis dan kekotoran ketika kita masih anak-anak. Sanggup berjaga malam diatas kesakitan anaknya. Besarnya pengorbanan wanita bergelar ibu.. lantaran itu Allah memasukkan satu surah dalam Al-Quran yang di namakan Surah An-Nisa (Surah Perempuan). Kerana itu juga ada riwayat menyebut sesiapa yang memandang wajah ibunya sudah diberikan ganjaran pahala.( Balik rumah tengok wajah ibu tau..)

Kedua : Al-Quran
Memandang Al-Quran pun sudah mendapat pahala apa lagi membacanya. Kenapa kita tidak suka membaca Al-Quran sedangkan ia memberi cahaya kepada hati kita. Hati yang gelap,pekat disebabkan Quran begitu jauh dalam hidupnya. Ada rumah yang di kunjungi di dalam almari,atas meja di penuhi Majalah Magga,URTV majalah fesyen dan sebagai sedangkan al-Quran saya tak nampak langsung. Bacalah Al-Quran setiap hari meskipun sebaris ayat nescaya hidup kita akan di berkati

Ketiga : Memandang Kaabah
Di Makkah Al-Mukarramah Jamaah dari India Pakistan,Indonesia suka bersolat dan duduk diluar Masjidil Haram dikawasan lapang.
Malangnya saya juga bertemu banyak jamaah haji Malaysia turut sama kununnya di dalam Masjid dah penuh atau senang nak balik hotel bila selesai solat kerana tak perlu bersesak-sesak. Malang sungguh... sedangkan inilah peluang seumur hidup untuk memandang Baitullah. Sesiapa yang memandang Baitullah (kaabah) InsyAllah akan mendapat pahala. Berusahalah untuk duduk sedekat mungkin dengan kaabah kerana itulah syiar umat Islam sejak zaman nabi Ibrahim lagi.

SUMBER: Terima kasih kepada En.Mior Shaharuddin (IPGM Kampus Pulau Pinang) atas emel yg di'forward'.

Pada Suatu Masa Dalam Bulan Puasa

Masa merangkak ke waktu asar. Tiga budak hingusan itu berkumpul di hadapan rumah kedai milik bapa salah seorang mereka. Mereka meletakkan bunga api dan surat khabar di sebuah bangku. Lalu seorang membuka surat khabar itu seraya menghampar ke atas bangku itu. Kemudian masing2 mengoyakkan pembalut bunga api dan mengeluarkan belerang bunga api itu. Apabila semua bunga api dikeluarkan belerang, masing-masing mengambil ranting kayu berdekatan mereka. Dengan perlahan belerang itu dilenyek-lenyek.

Tiba-tiba.....

"Adusssss!!!Panas!!!!"

Terdengar suara salah seorang terpekik dan menangis kuat. Budak itu terus berlari ke rumah mak ayahnya. Seorang budak lagi terut menangis dan berlari balik sambil memegang kepala. Seorang lagi budak terdiam dek terkejut lalu masuk ke rumah kedai ayahnya. 

*************************************************

 Di bawah 60 saat sebelum kejadian:

Salah seorang budak itu tanpa disedari telah menggunakan ranting kayu yang telah berbara untuk melenyekkan belerang bunga api itu. Lalu bila terkena belerang yang dilenyek, terus api menyambar mana-mana anggota badan berdekatan. Sambaran api itu terkena hujung kepala budak itu dan membakar sedikit hujung rambutnya. Sebab itu budak itu menangis dan memegang kepalanya sambil berlari balik. Sambaran api itu paling banyak mengenai tangan budak yang meraung kepanasan itu. Waktu itu dia asyik melenyek belerang itu. Api itu membakar jari-jari hingga pergelangan tangan kanannya.

*************************************************

Sejam sebelum kejadian:

Tiga orang budak itu berkumpul di tepi sungai di kampung mereka. Salah seorang budak itu memberi cadangan untuk mengisi waktu lapang mereka petang itu sempena ketibaan hari raya.

"Jom kito buat bom (mercun buatan sendiri) nok?" Katanya dalam dialek Besut-Setiu.


*************************************************

Tiga hari selepas kejadian:

Takbir raya berkumandang. Salah seorang budak itu tidak ke masjid seperti kebanyakan budak-budak lain. Dia memegang pergelangan tangan kanannya yang melepuh dan mengembang seperti belon. Raut mukanya penuh kesedihan. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...