nuffnang

Tuesday 13 May 2014

Sesejuk Hawa Pagi Di Bumi Cenderawasih: Bab 2

Seketika cuma mata mereka bertaut. Dengan cepat gadis itu memalingkan muka ke depan. Faris terkesima. Wajah gadis itu mengingatkannya pada seseorang. Puas dia menyelongkar kotak memori di kepalanya, namun dia masih tidak mengingati gadis itu.
Hmm, mungkin orang lain, bisik hatinya.
Dia terus menumpukan perhatian terhadap kaunter tiket yang semakin dekat di matanya. Gadis itu telah hilang di pandangan. Dia sempat melihat gadis itu membeli tiket dan berlalu pergi. Hilang di celah ratusan manusia di situ. Setelah mendapat dua keping tiket, dia terus berjalan mendapatkan Izzat yang dari tadi menunggu di motosikal.
"Hai, kata nak bergilir..aku tunggu kau call gak..,"kata Izzat sambil menghulur helmet kepada Faris. Faris hanya tersengih menyedari dia terlupa tentang Izzat yang menunggu di motosikal.
"Eh, aku nak ke toilet jap..kau tunggu sini dulu,"kata Faris. Tanpa menunggu reaksi Izzat, Faris terus berjalan laju menuju ke tandas awam berhampiran.

Selesai melunaskan hajat, dia terus bergegas ke motosikal. Tanpa disedari, dia terlanggar bahu seorang gadis yang keluar dari tandas wanita bersebelahan.
"Sorry cik..Eh..,"Faris terhenti suara.
Gadis tadi. Gadis yang memakai baju merah berlengan panjang dan bertudung hitam itu. Seketika mata mereka bertentang namun cepat-cepat gadis itu berpaling ke arah lain.
"Eh bukan ke awk Intan...Intan sya..sya....,"baru dia teringat nama gadis itu, tapi teragak untuk menyebut nama penuh.
"Intan Syazliana, Faris Hakimi,"sahut gadis itu bersahaja.
"Ingat lagi nama saya ye,"balas Faris.
"Siapa yang tak kenal Ketua Pengawas paling tegas kat sekolah dulu,"sahut Intan sambil tersenyum nipis.
Faris Hakimi tersengih. Fikiran Faris mula melayang ke masa lepas. 5 tahun lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Permaisuri. Dia masih ingat dia selalu mengambil nama pelajar yang selalu datang lewat setiap hari Isnin. Nama Intan Syazliana, pelajar tingkatan 2, sentiasa mengisi ruang buku catatan pengawas pada hampir setiap minggu. Bila ditanya sebab kelewatan, dia sentiasa mendiamkan diri. Akhirnya dia mengaku, setiap hari minggu dia menolong ibu bapanya di gerai makan milik keluarganya. Masa perniagaan yang menjangkau tengah malam merentap masa rehatnya. Keletihan mencengkam pagi Isnin, memaksanya lambat ke sekolah. Ego sebagai Ketua Pengawas membahang nada suara Faris bila bertanyakan masalah Intan Syazliana. Lantas membibitkan rasa meluat yang akhirnya membuahkan kebencian Intan Syazliana terhadap Faris. Namun kebencian itu berakhir sejurus berlaku suatu kejadian sebelum Faris selesai menduduki SPM dulu.

Intan Syazliana di mata Faris kini cukup berbeza berbanding 5 tahun lalu. Tiada lagi cermin mata berbingkai tebal dipakai Intan Syazliana. Tiada lagi tudung senget dikenakan. Tiada lagi jerawat batu di pipi kiri dan kanan. Di depannya kini ialah seorang gadis ayu, berkulit licin dan tanpa kaca mata. Cukup berbeza. Cuma lesung pipit di pipinya tetap kelihatan yang mengingatkan Faris terhadap gadis itu tadi. Faris sempat meminta nombor telefon Intan Syazliana sebelum berlalu menuju ke motosikalnya di tepi Stadium Permaisuri.

"Besar hajat Faris..Lama sangat ni..Hadas besar ke..,"sapa Izzat yang dari tadi menunggu.
"Tak sengaja,"jawab Faris spontan tanpa menceritakan tentang Intan Syazliana yang baru terserempak dengannya. Faris menghidupkan enjin motosikalnya dan membawa Izzat bersamanya menuju ke warung cendol berhampiran untuk menghilangkan haus sebelum pulang ke rumah.

Sebaik sampai di rumah, Faris terus ke bilik menghempaskan tubuh yang masih penat dan terasa lemah ke katil. Kepenatan pulang dari Kuala Lumpur menghadiri temuduga semalam masih terasa. Ini adalah temuduga ketiga yang dihadirinya selepas 3 bulan menamatkan pengajian Kejuruteraan Kimia di sebuah universiti di selatan tanahair. Dia sangat berharap dapat merebut jawatan sebagai jurutera yang ditawarkan meskipun berdepan saingan sengit calon-calon lain. Dia sudah penat bekerja sebagai jurujual jualan langsung sebuah syarikat barangan elektrik di Bandar Permaisuri. Dia akui dia tidak betah menyerap kata-kata negatif hampir setiap kali ingin menjual barang kepada orang ramai. Pernah dia dikejar anjing liar ketika sedang berjalan kaki di sebuah kawasan perumahan berhampiran bandar. Larian ala Watson Nyambek yang dilakukan ketika dikejar menyebabkan seluarnya terkoyak dan barang yang ingin dijual bertaburan jatuh. Sudahnya, dia pulang hampa. Membawa kepenatan dan kekecewaan. Semua itu menjadikannya lemah. Lemah dalam meneruskan kerja sebagai jurujual. Dia tidak sanggup lagi.

Hari menghampiri senja. Faris terlena keletihan.








1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...