nuffnang

Friday 14 June 2013

Ayam Api

Bagi kanak-kanak yang sebaya dengan penulis pada waktu kecil-kecil dulu, ayam ini merupakan spesies haiwan yang cukup kami geruni.

Ayam-ayam ini dibela seorang pemilik kedai kopi yang terkenal di kalangan warga penduduk Kampung Gong Terap yang terletak di daerah Setiu, Terengganu, arwah Ayah Su Johari. Entah dari mana arwah mendapat baka ayam jenis macam ini, tidak pula kami ketahui. Kumpulan ayam ini yang sekitar 5 hingga 7 ekor berkeliaran tidak jauh dari jalan utama kampung kami. Jadi, nak atau pun tak, kami terpaksa juga berdepan dengan kumpulan ayam ni. Waktu itu, kenderaan utama ialah sepasang kaki sahaja. Bagi adik beradik ramai, nak dapatkan basikal cukup susah. Kalau ada pun, si abang biasanya berkayuh sendiri. Jadi si adik dan kawan-kawannya kenalah berjalan kaki. Destinasi kami satu sahaja, pergi ke rumah-rumah kawan dan bermain.

Bila berjalan dan menghampiri kumpulan ayam ini, masing-masing akan terdiam. Masing-masing pasti akan memandang kumpulan ayam ini dengan muka cemas. Reaksi pertama ayam-ayam ni ialah mengembangkan bulu-bulu badannya. Waktu tu kami dah bersedia dah mengatur langkah. Kemudian....
"lari.........!!!"
Ini adalah jeritan biasa kedengaran dari mulut kami bila berdepan ayam-ayam ni. Jeritan ini akan disusuli dengan acara lari pecutan yang dahsyat ibarat acara lari pecut berganti-ganti yang dilepaskan beramai-ramai. Satu kumpulan dikejar oleh kumpulan yang lain. Bezanya kumpulan yang mengejar tu adalah spesies ayam yang cukup garang yang layak diiktiraf sebagai lagenda ayam kat kampung kami. Biasanya 'acara lari berganti-ganti beramai-ramai' ini akan diakhiri oleh sumpah seranah kami sebaik sahaja ayam-ayam itu terbang dan mencakar mana-mana anggota badan kami yang boleh dicapai. Ada juga antara kami yang menangis bila ayam-ayam ini boleh mencapai 'penerbangan tahap roket' dan mencakar telinga kami sampai luka-luka kecil.

Apabila usia kami semakin meningkat, lama-kelamaan kami perasan yang kelibat ayam-ayam ini telah tiada di kampung kami. Mungkin ayam-ayam itu dah disembelih atau mati kena penyakit atau mati tua. Kali terakhir penulis melihat spesies ayam ini ialah semasa berjalan ke kelas mengaji yang tidak jauh dari rumah arwah. Itu pun bukan ayam hidup, tapi bangkai ayam api yang terpelusuk di tepi semak. Arwah Ayah Su Johari pun tak lagi membela spesies ayam ini. Dan selepas itu tiada lagi cerita tentang ayam api menjadi perbualan di kalangan kami.

Walaupun berdepan dengan 'kengerian' setiap hari apabila berjalan, namun cerita ayam api ini tetap menghadirkan memori indah zaman kanak-kanak kami yang tidak dilalui oleh generasi baru kampung kami. Yelah, secara tak langsung kami terlibat dengan acara sukan olahraga hampir setiap petang. Acara lari pecut lagi. Kalau difikir-fikirkan, memang seronok dan mahal kenangan tentang ayam api ini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...