nuffnang

Wednesday 22 May 2013

Bersyukur

Lelaki muda itu asyik merungut tentang kesulitan hidup dilaluinya. Sejak menamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan, sudah berpuluh-puluh resume dikirimkan kepada syarikat-syarikat untuk mencari peluang pekerjaan namun keputusannya menghampakan. Sudah puas dia menjajakan dirinya kepada syarikat-syarikat koperat namun hasilnya tetap mengecewakan. Kehampaan demi kehampaan melemahkan perasaannya, membuakkan kemarahannya dan membiakkan rasa putus asa dalam dirinya.



Suatu hari, dia merayau tanpa tentu arah di sekitar kawasan perumahan orang tuanya. Kebetulan hari itu adalah hari pasar malam di kawasan itu. Maka ramailah peniaga dan pembeli berurusan jual beli. Mata dia tertarik pada seorang pengemis di tepi laluan pasar malam itu. Pengemis dalam lingkungan umur 40-an itu sibuk meraih simpati, mengharapkan belas ihsan orang ramai yang lalu lalang. Tangannya seolah tidak letih menadah dan mengharapkan jatuhan kepingan syiling atau kepingan ringgit dari tangan orang lain di laluan itu. 

Dia memerhatikan lelaki itu. Di sebalik pakaian dan raut wajahnya yang tidak terurus, dia mempunyai sepasang tangan yang tiada cacat celanya. Malah tangan lelaki itu tampak lebih besar dan gagah dari tangannya sendiri. Kaki lelaki itu juga sama seperti insan lain, malahan agak besar dan kelihatan kuat, sesuai dengan tubuhnya yang agak tegak itu. Dia memerhatikan mata lelaki itu, sama seperti insan normal, celik, tidak buta dan tidak berkaca mata. Lalu, kenapakah dia memilih jalan hidup sebegitu? Hidup atas belas kasihan dan simpati orang? Tidak adakah walau sekelumit perasaan malu dalam dirinya? Dia tidak betah mennjawab semua persoalan itu. Dan dia juga tidak sanggup meredah kesesakan manusia di situ untuk berdiri di sisi lelaki itu dan bertanyakan sejarah hidupnya.



Kakinya melangkah menyusuri laluan lain pasar malam itu yang kurang sesak sebelum langkah kakinya terhenti dan matanya terpaku melihat sesuatu di depan matanya. Lensa matanya merakamkan seorang lelaki gigih berniaga barangan terpakai. Di sebalik kaki dan tubuhnya yang kecil, lelaki itu bergantung kudrat pada satu tangannya sahaja. Satu tangan lagi tidak kelihatan di balik lengan bajunya. Lalu hatinya tersentuh melihat ketabahan lelaki itu menempuh gelombang hidup demi kelangsungan hayat.

Lelaki muda itu seolah baru tersedar dari lamunan yang panjang. Sudah sekian lama sejak dia mula berputus asa, hari-harinya dirasakan tidak bermakna dan kosong. Didorong oleh rasa syukur, dia berazam untuk mengejar kembali impiannya yang ditinggalkan sejak kebelakangan itu.









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...