nuffnang

Monday, 12 May 2014

Sesejuk Hawa Pagi Di Bumi Cenderawasih: Bab 1

Hari merangkak pagi. Matahari kian menampakkan wajah. Menyuluh hening pagi. Daunan pokok-pokok hijau di tepi jalan masih kebasahan dek curahan hujan malam tadi. Angin yang bertiup perlahan menggerakkan rimbun daun seolah penari yang melenggok mengikut alunan lagu. Sebuah rumah kayu di tengah Kampung Cenderawasih itu masih kelihatan sunyi seolah tiada penghuni. Suara burung-burung menyanyi dan keriuhan kanak-kanak yang bermain menghiasi suasana pagi itu. Namun kemeriahan itu tidak mampu membangkitkan seorang pemuda yang masih lena di rumah itu.

"Eh, tak bangkit-bangkit lagi budak ni," terdengar suatu suatu dari bahagian dapur rumah. 
"Entah, senyap je..Cuba maknya kejutkan..Kan sampai tengahari dibuatnya tidur,"sahut satu suara yang lain.
Perlahan-lahan tubuh itu bangun. Berjalan perlahan menuju suatu bilik di rumah itu. Diketuknya pintu bilik berkali-kali.

"Faris...oo Faris...bangun..dah dekat tengahari ni..."
Masih sunyi reaksi dari bilik.
"Faris...."makin kuat sunyi memanggil.
"Ye mak...."baru kedengaran suara dari dalam bilik. Tapi begitu lemah. Antara dengar dan tidak. Pemuda di katil itu dengan perlahan membuka mata. Dia menggeliatkan tubuh yang terasa lemah. Matanya perlahan dibuka. Terasa pedih dan berair disuluh silau matahari dari jendela rumah yang berkaca. Digosok-gosok matanya yang terasa mengecil. Dengan rasa malas dia membangkitkan tubuhnya. Kakinya terus menuju ke pintu. Seraya membuka, pandangan matanya terus bersua muka dengan ibunya yang sedari tadi terjegat di pintu bilik itu. Dia tersenyum kecil.

"Pukul berapa ni mak," dia bertanya selamba.
"Pukul 11.30 dah," jawab emaknya, ringkas.
"Hah?11.30?"Jawapan ringkas itu cukup mengejutkan dirinya. Seperti ada suatu aura yang mengalir dalam badan hingga mencetuskan tindak balas pantas dalam sistem tubuhnya. Serta merta dia berlari ke bilik, dicapainya tuala dan bergegas ke bilik mandi.

Di sebuah rumah di hujung kampung itu, seorang lelaki muda mundar mandir di halaman rumahnya. Sesekali dia menjenguk ke hujung jalan dan sesekali dia berpatah semula ke tepi beranda rumah. Berkali-kali dia melihat jam tangannya.

"Ish, mana Faris ni..janji jam 10..,"rungutnya sendiri.
Berapa ketika menunggu, nun dari jauh ternampak kelibat seorang lelaki menunggang motosikal dengan laju ke arah rumahnya.
"Sorry Izzat..hehe..," kata Faris sambil tersengih.
"Ok..ok jom..dah lewat ni,"sahut Izzat tanpa banyak soal, menyedari masa yang kian pantas menghambat.
Seusai memakai helmet, Faris terus memecut motosikal dengan membonceng Izzat. Bunyi enjin menderum kuat membawa dua lelaki itu menuju ke Bandar Permaisuri.

Bandar Permaisuri. Bandar yang kian membangun. Bak cendawan yang tumbuh selepas hujan, banyak bangunan baru didirikan. Namun di sebalik semua itu, pihak Majlis Perbandaran masih mengekalkan kehijauan pokok-pokok di sekeliling bandar. Bandar Permaisuri tetap menarik pada pandangan mata. Menyusur jalan sepanjang bandar, seolah menyusuri jalan di pinggiran taman yang indah. Rimbunan daun pokok di sepanjang jalan ibarat payung yang menahan pancaran cahaya matahari. Redup dan dingin.

Dia sekawan itu telah sampai ke kaunter jualan tiket perlawanan akhir bola sepak kelab Malaysia di Stadium Permaisuri. Ramai orang yang telah beratur untuk membeli tiket.
"Aku rase better kita bergilir beratur..kau tunggu sini kat motosikal..kalau aku penat aku telefon kau.," cadang Faris. Izzat hanya menggangguk. Faris memasuki barisan. Barisan untuk membeli tiket itu adalah kawasan terbuka tanpa atap atau rimbunan daun pokok untuk menyerap haba pancaran matahari. Matahari yang semakin meninggi membawa bersama bahang kepanasan. Muka Faris mula berbintik peluh. Disekanya dengan belakang tangan. Dia sendiri tidak menyangka begini panjang barisan yang perlu dia beratur untuk mendapatkan tiket. Rasa kesal kerana terlewat bangun menyerang hati bertalu-talu.

Sedang asyik melayang fikiran, tiba-tiba lelaki yang beratur di belakang telah tertolak Faris. Tolakan yang agak kuat itu menyebabkan Faris hilang keseimbangan badan, mendorongnya untuk jatuh merempuh barisan depan. Rempuhan itu menyebabkan tiga orang dari barisan depannya terjatuh bersama Faris.
"Eh, apa ni brader?"Soal seorang lelaki yang terjatuh. Marah.
"Sorry..sorry bang..tak sengaja..,"jawab Faris dengan cemas.
"Apa sorry..sakit tau!"sahut yang lain.
Melihat kekecohan itu seorang lelaki dari barisan belakang datang ke depan mententeram keadaan.
"Maaf abang-abang, salah saya..saya terlanggar tadi..sorry,"kata lelaki itu dengan lembut.
Suasana kembali tenang. Namun hati Faris tiba-tiba berdebar. Dia terpandang seorang gadis selang beberapa orang di hadapannya yang tertoleh ke arahnya. Mungkin terkesan dengan kekecohan tadi. Mereka saling berpandangan.



Sunday, 23 February 2014

Malam Minggu di Bukit Ampang

Nikmati keindahan mlm minggu di Bukit Ampang..


Angin lembut yg membawa hawa menyegarkn,mampu membuatkn anda berasa tenang dan nyaman..

Monday, 27 January 2014

2014 Yang Lebih Mencabar

2013 telah pun berlalu. Seberapa banyak pun kenangan pahit dan manis sepanjang 2013, namun 2013 telah pergi dan tidak mungkin  berulang kembali. 2014 datang yang pastinya membawa cabaran yang berbeza. Memang tidak dinafikan, 2014 dilihat sebagai tahun yang lebih mencabar apabila pada awal-awal lagi semua orang berbicara tentang peningkatan kos hidup pada tahun ini.

Biar apapun cabaran, jangan dilupakan tentang pepatah Melayu yang popular, "membujur lalu, melintang patah". Biar apapun rintangan, kita kena juga menghadapi. Biar apapun liku dan ranjau, kita tetap kena melalui.

Namun sebagai umat Islam, di sebalik kehidupan di dunia yang sementara, jangan dilupakan akhirat yang abadi kerana di sanalah destinasi kita yang sebenar. Manfaatlah nyawa yang dipinjam kepada kita untuk memperoleh bekalan secukupnya ke sana. Sama-samalah kita berdoa agar kita dijauhkan dari tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi.

Tuesday, 3 December 2013

Kritikan


Sebagai orang Melayu, penulis tidak malu untuk mengatakan tentang satu sikap negatif yang lazim wujud dalam masyarakat kita iaitu suka mengkritik tapi tidak berani atau sanggup untuk memikul tanggungjawab. Kita biasanya mudah nampak kesalahan orang lain walau sekecil mana pun dan mengambil peluang itu dengan mengkritik tanpa asas yang membina. Namun, jika ditawarkan memikul tanggungjawab orang yang dikritik itu, tidak ramai yang berani menonjolkan diri. Usah bercakap soal kepimpinan tertinggi negara, kita pandang sahaja tanggungjawab mentadbir satu-satu jawatan dalam jabatan. Penulis mengambil contoh perihal penulis sendiri. Tugasan penulis ialah menyelaras suatu tugasan dalam satu Kementerian di Putrajaya. Tugasan ini adalah kritikal disebabkan kekurangan minat dan ketidaksanggupan pegawai-pegawai di negeri-negeri untuk mengambil tanggungjawab ini walaupun diberikan peluang. Namun di sebalik semua itu, ada di kalangan pegawai-pegawai tersebut yang berkelakuan 'sangat tahu dalam segala hal' namun menolak bila diberi peluang menggalas tanggungjawab.

Ada kalangan kita terlalu mudah melihat kelemahan orang lain, namun pada masa yang sama menutup mata dari melihat kelemahan diri sendiri. Banyak kalangan kita yang pandai bercakap dan memberi pendapat, namun tidak sanggup bergerak ke hadapan untuk melaksanakan apa yang dicadangkan. Ramai antara kita yang lantang mengkritik pemimpin, namun tidak ramai yang sanggup ke depan untuk memimpin.

Mungkinkah orang kita memang begitu?

Tuesday, 19 November 2013

Hujan


Bulan November. Pada waktu penulis masih kanak-kanak, hujung tahun sebegini cukup dinantikan. Pertama, oleh sebab waktu sebegini bermulanya cuti persekolahan hujung tahun yang panjang. Kedua adalah kerana waktu sebegini bermulanya musim tengkujuh. Bagi kami yang biasa dilanda banjir, kedatangan hujan yang berterusan yang melimpahkan air sungai berdekatan ke kawasan rumah kami ibarat pesta hujung tahun. Air banjir yang tidak deras tetapi agak dalam bukanlah ancaman bagi anggapan kami. Masing-masing pandai berenang dan tidak sesekali bermain berdekatan sungai yang memang deras arusnya.

Biasa waktu sebegini kami bermain tiub tayar lori yang dijadikan pelampung dan masing-masing akan naik ke pelampung itu seberapa ramai yang boleh. Ada antara kami yang menjadikan beberapa batang pisang yang diikat dengan tali untuk dijadikan rakit. Ada antara kami berjalan secara berkumpulan meredah jalan raya yang dinaiki air. Ada juga yang meredah dengan basikal walaupun air agak deras.

Bagi penulis, semua itu menjadi kenangan terindah dan hampir mustahil untuk diulangi semula. Sesekali guruh berdentum dan hujan mencurah di luar cermin bilik pejabat penulis di Putrajaya pada waktu sebegini, kenangan waktu kanak-kanak datang kembali mengusik jiwa.

Wednesday, 18 September 2013

Layang-layang Terbang Menentang Arah Angin..


Masa berlalu begitu pantas. Kesibukan membuatkan kita seolah tidak sedar usia kita kian meningkat. Sedar atau tidak kita sebenarnya semakin tua seiring dengan peredaran masa. Hari demi hari berlalu. Tidak semua jalan yang dilalui setiap hari lurus bentuknya. Pastinya ade selekoh dan liku-liku. Pastinya ada duri-duri yang menanti di sepanjang jalan. Yang pasti, cabaran tetap menanti sama ada di jalan yang lurus atau tersembunyi di sebalik selekoh. Ya, cabaran.

Ramai orang tidak begitu gembira dengan cabaran. Ramai yang hendakkan hidup yang mudah. Ramai yang mempunyai mimpi. Ramai juga yang hendakkan mimpi menjadi kenyataan. Lebih ramai yang mahu mimpi mereka menjadi nyata dengan mudah.

Namun kehidupan bukan begitu. Kita boleh mimpikan apa yang kita mahu. Namun tidak semua yang boleh menjadi nyata. Ada mimpi yang menjadi nyata namun tidak semua boleh diperoleh semudah mengerlipkan mata. Namun selagi kita makhluk yang masih bernafas, harapan tidak boleh terpadam. Selagi mampu, cita-cita wajar dikejar dan digapai.

Yang pastinya kehidupan itu sendiri bukan sesuatu yang mudah. Sejak kecil lagi kita diajarkan dengan kesukaran dan cabaran. Kita lahir dari rahim ibu dalam semua kesukaran. Proses kejadian kita sendiri adalah sesuatu yang sangat mencabar. Kita adalah satu daripada berjuta-juta sperma yang saling bersaing dan berjuang untuk bercantum dengan satu ovum. Ya, kita berjaya sebab satu sperma daripada berjuta-juta sperma itu adalah sel asal yang membentuk kita menjadi manusia. Proses kelahiran kita juga bukan sesuatu yang mudah. Bahkan berapa ramai ibu-ibu yang terputus nafas dalam melahirkan seorang anak. Kita berjaya dilahirkan di dunia melalui perjuangan yang sangat memeritkan.

Perubahan dari alam bayi ke alam kanak-kanak dan seterusnya menjadi dewasa juga adalah sebuah perjuangan. Kita sudah pasti tidak dapat mengingati apa yang berlaku di alam awal kanak-kanak kita. Tetapi alam menyaksikan seorang kanak-kanak kecil jatuh berkali-kali di saat kakinya melangkah untuk berjalan sendiri. 

Hidup adalah perjuangan. Di saat kita terduduk menyaksikan impian kita menjadi kabur atau mimpi kita masih belum menjadi nyata, cuba kita merenung dan berfikir sejenak. Layang-layang misalnya. Kita pernah bermain layang-layang atau sekurang-kurangnya melihat layang-layang dimainkan. Layang-layang terbang bila angin bertiup. Namun layang-layang terbang bukan mengikut arah angin tetapi menentang arah angin. Dengan perkataan lain ialah menongkah arus. Bermakna, itu adalah perjuangan melawan cabaran atau menghadapi cabaran. Orang yang berjaya menghadapi cabaran akan menyaksikan mimpi-mimpi dia menjadi nyata, satu persatu ataupun sekurang-kurangnya dia berjuang menggapai impiannya. Bukan untuk menyaksikan impiannya menjadi kabur atau gugur satu demi satu.

Teruskan usaha menggapai impian.

Monday, 19 August 2013

Memburu Impian


Ada sesetengah orang kadangkala dihantui ketakutan, kerisauan dan kebimbangan yang tidak pasti. Mereka suka merancang sesuatu dan berangan untuk mendapatkan sesuatu, namun apabila memikirkan risiko yang bakal ditempuh, serta merta perancangan terbatal dan impian terpadam. Mereka suka membina mimpi, merancang mimpi menjadi nyata namun yang nyata mereka takut berdepan cabaran.

Ketakutan..

Kerisauan..

Kebimbangan...

"Aku minat berniaga, tapi aku takut rugi"

"Aku ingin berjaya dan berusaha, api aku takut aku gagal dan kecewa"

"Aku ingin berlari, tapi aku takut jatuh dan cedera"

"Aku takut"

"Aku takut"

dan

"Aku takut"

****************************************************

Ada pula sesetengah orang yang degil dengan diri sendiri. Degil dengan pujukan 'ketakutan' dalam diri. Degil dengan 'kebimbangan' yang sentiasa menyediakan 'blok-blok' kukuh dalam pemikiran untuk berfikir secara luar biasa. Orang-orang seperti ini akan mengambil tindakan yang luar kebiasaan dan hasilnya akan melebihi orang-orang biasa.

Ya luar dari biasa.

Yang sederhana adalah biasa. Kaya dan berjaya adalah luar biasa.
Tidak mengambil risiko adalah biasa. Mengambil risiko adalah luar biasa.
Tidak mengambil risiko bermakna tidak melakukan apa-apa. Tidak melakukan apa-apa bermakna tidak berjaya. Mengambil risiko bermakna melakukan sesuatu dan tindakan itu adalah menuju ke kejayaan.

***************************************************

Ayuh, ketepikan ketakutan dan kebimbangan melampau dalam pemikiran.

Mulakan langkah untuk memburu impian yang kita bina.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...