nuffnang

Monday, 29 April 2013

Misteri Si Ayam Tua Bahagian Pertama


Seorang penternak ayam sedang memerhatikan ayam-ayam yang diternaknya berebut-rebut mencantuk makanan. Ralik benar dia memerhatikan ayam-ayam ternakannya. Sambil merenung gelagat ayam-ayamnya, si penternak itu mencongak-congak sesuatu dalam fikirannya. Telah banyak ayam ternakannya. Dari 5 ekor, bertambah 5, bertambah lagi 10 sehingga 20 ekor semuanya kini.
"Bertambahlah RM aku nanti," dia berkata sendiri sambil tersenyum lebar.

Dalam banyak-banyak ayamnya ada seekor ayam betina yang sudah tua benar usianya. Bulu-bulunya dah banyak yang gugur. Sayapnya jatuh menggelebir. Matanya hampir-hampir terkatup. Mukanya berkedut benar. Setiap kali berjalan, setiap kali juga ayam tua itu hampir terjatuh dan tersadung dek kekurangan kudratnya. Ayam tua itu tidak mampu lagi bertelur apatah lagi membiakkan si anak ayam baru. Dengan rupanya yang sebegitu rupa, sudah pastu ia tak lagi menarik jelingan manja ayam-ayam jantan di situ.


Namun di sebalik semua itu, si ayam tua itu tetap menjadi pujaan penternak itu. Tetap menjadi sanjungan si penternak. Sungguh, dia terlalu mengagungkan sejarah lampau si ayam tua itu. Baginya si ayam itu menjadi sumber kelestarian keturunan ayam-ayam ternakannya. Baginya juga, ayam tua itu adalah ikon kepada semua ayam-ayam di situ.


Sejauh mana hebat sejarah si ayam tua itu? Bagi sekumpulan ayam muda yang masih segak dan cantik, keagungan yang dicipta oleh ayam tua itu hanyalah retorik semata-mata. Ayam tua itu tidak sehebat yang digambarkan si penternak itu pun. Walaupun ayam tua itu adalah ayam terawal yang diternak oleh penternak itu, baka-baka terbaik yang lahir di kawasan ternakan itu bukanlah dari telur yang keluar dari perut si ayam itu.


Namun kenapa penternak itu masih 'menyimpan' si ayam itu? Bukankah senang kalau disembelihnya awal-awal ayam itu atau dicampakkan sahaja ke kawasan lain? Inilah persoalan yang menjadi misteri di kalangan ayam-ayam di situ. Puas mereka berfikir dan mengagak jawapan kepada soalan mereka namun jawapannya tetap kabur dan menjadi misteri.


Dan kenapa pula sekumpulan ayam muda itu amat tidak senang hati dengan si ayam tua itu? Apakah yang telah dilakukan si ayam tua itu sehingga menyebabkan kumpulan ayam muda itu amat rimas dengannya?


........Selanjutnya di Misteri Si Ayam Tua Bahagian Dua.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...