Lalu rasa marahnya membuak. Sudah berulang kali dia menghalau kambing itu dari kawasan rumahnya. Tapi si anak kambing ini tetap datang. Tetap datang meragut pokok dalam kawasan rumah. Suka benar si anak kambing ini.
Tiba-tiba sahaja budak itu mendapat idea. Ibarat mendengar suara halus ke telinga untuk melakukan sesuatu yang jahat, si budak ini tersengih seorang. Lantas dia ke dapur rumahnya. Dia keluar semula dengan menggenggam beberapa cili hijau yang masih segar. Tanpa berlengah terus ditaburkan berdekatan si anak kambing itu. Dengan cepat si anak kambing terus meragut cili yang bertaburan itu, terus mengunyah dan menelannya. Tidak sampai seminit berlalu. Si anak kambing itu dengan tiba-tiba mengembik dengan kuat sambil melompat-lompat tanpa arah. Budak itu berasa agak cemas. Kambing itu tidak berhenti berbunyi dan melompat. Lalu dengan cepat kambing itu berlari seolah dikejar harimau lapar. Kambing itu terus berlari di seberang jalan dan hilang di sebalik rumah-rumah jiran. Namun suara yang mengembik tidak henti-henti tetap sayup kedengaran.
Budak itu terus cemas, bimbang tuan kambing itu yang tinggal betul-betul di depan rumahnya keluar dari rumah kedainya dan mencari kambingnya. Mujur tuannya tidak keluar.
Hari berlalu. Budak itu berasa lega kerana kambing itu tidak lagi datang meragut daun-daun pokok di halaman rumahnya. Namun hati dia hairan bercampur bimbang. "Mati ke anak kambing tu makan lada?"Dia bertanya sendiri. Dia bimbang memikirkan, kalau si anak kambing tu mati, hantu kambing akan datang memaksa dia makan balik lada-lada yang dia pernah bagi kat dia. Sungguh, dia tak sanggup. Atau pun tuan kambing tu sendiri paksa dia makan lada, cicah kicap buat "colek". Tuan kambing itu tahu ke anak kambing dia termakan lada?
Jeng...jeng..
"ooo...kau bagi anak aku makan lada ye...siap ko..." |
No comments:
Post a Comment