nuffnang

Tuesday, 26 March 2013

Lawak Dinihari: Pelatih Baru


Rosman Diterima Bekerja Sebagai Pelatih Di Sebuah Syarikat Multimedia. Selepas Melaporkan Diri Pada Hari Pertama Dia Masuk Ke Biliknya... Terus Mendail...
"Tolong Buatkan Saya Kopi Cepat!" Katanya Menengking.
"Maaf, Awak Salah Sambungan. Awak Tahu Dengan Siapa Awak Bercakap Ni?" Kata Suara Di Hujung Talian.
"Tidak" Jawab Rosman.
"Saya Pengarah Urusan Syarikat Ini, Awak Tahu?" Balas Suara Itu.
Rosman Terkejut. Barulah Dia Sedar Dia Tersalah Dail. Hajatnya Mahu Menghubungi Kantin.
"Encik Tahu Dengan Siapa Encik Bercakap Ni?" Tanya Rosman.
"Tak, Awak Siapa?" Balas Pengarah Urusan Itu.
"Kalau Tak Tahu Bagus..." Kata Rosman Terus Meletakkan Gagang Telefon.


Sumber: Internet

Sekadar Melawak: Cikgu Datang


Atok : Cu, pergi menyorok cepat cikgu kamu datang sebab kamu tak pergi sekolah hari ni...

Cucu : Atok la pergi menyorok...

Atok : Awat pulak atok nak kena menyorok?

Cucu : Sebab... saya bagi tau cikgu, saya tak pergi sekolah sebab atok meninggal...

Atok : !!@@#$%@#

Sumber: Internet

Monday, 25 March 2013

Lawak Di Siang Hari: Lembu dan Tuannya


LEMBU OH LEMBU..KALAULAH KAU PANDAI BERCAKAP..
Seorang lelaki sedang berjalan dengan lembunya...

LEMBU. Aku makan rumput. tuan makan apa?
LELAKI. Aku makan nasi. kita tak sama.

LEMBU: tuan tidur di mana?
LELAKI. Aku tidur atas tilam. engkau tidur dalam kandang. mana nak sama.

tiba-tiba kedengaran laungan azan....

LEMBU: itu suara apa?
LELAKI: Seruan azan mengajak bersembahyang.

LEMBU: tuan tak sembahyang?
LELAKI: tidak.

LEMBU: samalah kita.
LELAKI: ????????????


Sumber: Internet

Monday, 18 March 2013

Kisah Seram Di Tepi Kubur: Angkara Durian


Suatu masa dulu, sebatang pokok durian yang berdiri teguh di belakang rumah orang tua mereka di Kampung Gong Terap di daerah Setiu, Terengganu sentiasa menghadirkan cerita gembira setiap kali musim durian tiba. Isi buahnya yang kuning dan manis sentiasa menggamit selera terutama bagi 'hantu durian' seperti dua beradik itu. Namun perjalanan untuk mengutip durian yang gugur akan menguji keberanian si 'hantu durian' itu kerana pokok durian itu berdiri tidak jauh dari tanah perkuburan kampung mereka.

Pagi itu ialah pagi Jumaat. Dua beradik itu bersiap untuk mencari durian yang gugur. Berbekal sebilah golok, mereka meredah laluan berumput di bawah pokok kelapa dan rambutan di belakang rumah mereka. Tidak sampai lima minit berjalan, mereka telah sampai di bawah pokok durian yang tinggi itu. Lalu si abang terus mencari durian yang gugur. Mata si adik tidak dapat memberi fokus kepada durian. Suasana sunyi yang hanya ditemani bunyi unggas membuatkannya tidak tenang. Matanya melilau sekeliling lalu terpandang sesuatu yang berpakaian putih sedang bergerak-gerak di atas tanah perkuburan. Dia terbayang hantu pocong sedang bergolek-golek di atas tanah kubur. Lantas dia memberitahu si abang.

"Hantu.....", jerit mereka serentak.
Ibarat dkejar sekumpulan tebuan, si abang terus meluru laju ke depan dengan muka pucat. Dia terlebih dahulu sampai di rumah. Bukan setakat durian terlepas, sebilah golok kepunyaan bapa mereka yang garang itu pun tercampak entah ke mana.

Selepas kejadian itu, baru si adik tahu rupa-rupanya ada antara ahli keluarga si mati akan menziarahi kubur si arwah pada waktu pagi. Makhluk berbaju putih yang dilihat pada hari kejadian itu adalah salah seorang yang menziarah kubur, bukan hantu pocong. Dia juga terfikir, orang yang bengkeng dan musang macam abangnya rupa-rupanya seorang yang sangat penakut hantu.

Nota: musang (disebut bersabdu pada m) bermaksud pemarah dalam loghat Terengganu dan Kelantan.






Kerana Bayi Ini Anakku

Suasana perkampungan di kaki gunung itu aman damai. Penduduk di situ rajin mengusahakan pertanian dan mengutip hasil-hasil hutan berdekatan. Kehidupan yang serba mencukupi itu rupa-rupanya menarik perhatian sekumpulan 'lanun darat' yang tinggal di luar perkampungan itu. Kumpulan manusia ini suka merampas dan melarikan hasil pertanian dari perkampungan lain ke puncak gunung itu yang dijadikan tempat untuk mengumpulkan segala hasil rampasan.

Suatu hari kumpulan manusia tidak berhati perut itu telah menyerang dan merompak harta benda penduduk kampung itu. Mereka membawa segala hasil pertanian ke puncak gunung. Mereka turut melarikan seorang bayi yang comel untuk dijual.

Penduduk di situ pun berpakat untuk mencari dan membawa balik bayi berkenaan. Sekumpulan pemuda kampung dihantar ke puncak gunung itu. Perjalanan ke puncak gunung sungguh mencabar. Hutan yang terlalu tebal dan binatang buas sentiasa menganggu perjalanan ke sana. Selepas sehari perjalanan, kumpulan berkenaan pulang dengan hampa. Tiada siapa mampu sampai ke puncak gunung. Kumpulan kedua pula dihantar. Kali ini diberi kelengkapan senjata dan makanan yang mencukupi. Namun kumpulan ini juga pulang dengan kecewa. Penduduk kampung hampir berputus asa.

Dalam kebuntuan memikirkan cara untuk sampai ke puncak gunung itu, tiba-tiba penduduk kampung tertumpu kepada seseorang yang sedang berjalan keluar dari hutan tebal menuju ke kampung itu.

Orang yang sedang menuju ke kampung itu ialah seorang perempuan. Kelihatan kesan luka yang masih berdarah di kaki dan tangannya. Namun di wajahnya yang lemah itu tetap terpancar perasaan gembira. Dia berjalan perlahan-lahan ke arah penduduk kampung yang sedang berkumpul sambil mengendong seorang bayi. Penduduk kampung berasa terharu. Namun mereka hairan memikirkan bagaimana seorang perempuan boleh mendaki gunung itu sedangkan dua kumpulan pemuda gagah perkasa gagal melakukan.
"Bagaimana kau melakukan?"tanya salah seorang dari mereka.
"Aku akan melakukan apa sahaja, kerana bayi ini ialah anakku,"jawab perempuan itu.



Saturday, 16 March 2013

Kisah Seorang Budak dan Nenas


Budak itu termanggu sendirian. Dia memerhatikan saki baki nenas yang baru habis dimakan.
"Lagu mano (bagaimana) nenas (ditane) ditanam?"Dia bertanya dalam hati. Lalu dia memerhatikan suatu bahagian nenas di depan matanya.
"Mungkin hok (yang) ni,"dia berfikir sendiri. Lalu diambilnya bahagian nenas yang tertinggal itu lalu terus ke kawasan lapang di belakang rumah. Dia terus mencangkul tanah lalu ditanamnya bahagian nenas itu.

Beberapa hari berlalu. Petang itu seperti biasa ahli kelurganya akan berehat dan berborak di beranda rumah. Tiba-tiba kedengaran suara dari belakang rumah.
"Sapo tane(tanam) nenas pakai pulur nih?"
"Tanam nenas dengan pulur?"Sahut seorang ahli keluarganya.
"Mat derih ko?"Tanya seorang lagi.
Serentak dengan itu meletuslah gelombang ketawa yang amat dahsyat petang itu sehingga ada yang keluar air mata. Budak itu tersengih-sengih. Dia ke belakang rumah memerhatikan pulur nenas yang ditanam. Pulur nenas itu sudah terkeluar dari tanah akibat cakaran kaki ayam kampung yang mencari makanan di situ.

Sesi bergelak ketawa masih kedengaran dari beranda rumah.
"Mano ado ore tanam nenas dengan pulur.."
Ketawa meletus lagi.



Thursday, 14 March 2013

Kisah benar di Tahun 2000: Penjual Nasi Lemak

Sekitar pukul 8.00 pagi. Di hujung minggu begini, waktu sebegini dikira masih awal bagi kebanyakan pelajar lelaki. Jadi pagi sebegitu terlalu sunyi di blok kediaman pelajar lelaki di kampus sementara Unimas yang terletak di Samarahan, Sarawak. Hanya beberapa pelajar yang gagah melawan nafsu tidur demi membasuh pakaian.

Seperti biasa, pada hujung minggu sebegitu sepasang suami isteri yang tinggal di kampung berdekatan berjalan-jalan di semua blok kediaman untuk menjaja nasi lemak dan pelbagai kuih. Mereka akan menarik perhatian penghuni blok kediaman pelajar dengan laungan "Nasi lemak,kuih-kuih". Suara si isteri biasanya lebih kuat dan nyaring. Apabila melaungkan "nasi lemak dan kuih-kuih" dan memanjangkan perkataan 'lemak" dan "kuih" dengan kadar 5 harakat, laungan itu kedengaran menyeramkan di pagi-pagi hening begitu. Lalu laungan sebegitu seperti jam loceng yang akan mengejutkan pelajar untuk terjaga dari tidur.

Pada pagi itu, si isteri berjalan melewati satu blok kediaman pelajar lelaki. Dia pun bersiap untuk melaungkan iklan nasi lemak dan kuih-muihnya.
"Nasi lemaaaaakkk....kuih-kuiiiiiiihh...Oppss....Silap.."
Kemudian kedengaran dia ketawa kecil seorang diri. Dengan pantas, dia mula melaungkan skrip baru.
"Nasi lemaak...,nasi lemakkk"
Rupa-rupanya dia tak membawa kuih-kuih pagi itu. 

Di sebalik tingkat sebuah bilik, di tingkat paling bawah kediaman itu, seorang pelajar lelaki tergelak sambil menutup mulut takut makcik itu terdengar. "Aaaaa...lucu makcik ni," katanya dalam hati.

Apabila Monyet Bertanya Kepada Monyet

Dalam suatu hutan tinggal berbagai-bagai jenis binatang. Dalam banyak-banyak bintang, yang paling mencuri tumpuan adalah dua ekor monyet yang berkawan baik. Dua ekor monyet ini yang boleh dikategorikan sebagai monyet remaja merupakan kawan karib. Melompat bersama, bergayut bersama, memanjat bersama, mencuri makanan bersama dan macam-macam aktiviti lagi yang dilakukan bersama.

Suatu hari salah seekor monyet ini termenung memanjang. Ini sangatlah menimbulkan kehairanan kepada yang seekor lagi. Maka bertanyalah monyet itu kepada kawannya itu dalam bahasa monyet yang diterjemahkan seperti berikut:
"Apahal kawan, kau asyik termenung je...tak bergayut dan melompat macam monyet lain?"Tanya monyet itu. Monyet yang seekor lagi itu tidak menjawab. Dia merenung kawannya itu. Kemudian jarinya digosok-gosok pada dahinya yang berbulu, seperti memikirkan suatu masalah yang besar. Kemudian dia pun mula bersuara.
"Aku terfikir la..kalau aku jadi kau, aku rase malu..kau tak malu ke?"Tanya kawan monyet itu.
"Malu apa?" Tanya monyet itu semula.
"Ye la bapak kau monyet...kau tak malu ke bapak kau monyet?"Tanya monyet itu dengan selamba.



Wednesday, 13 March 2013

Anak Kambing Yang Malang

Petang itu, budak itu duduk termenung di tepi tangga rumahnya. Matanya asyik melihat motosikal dan kereta lalu lalang di jalan raya di depan rumah. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi, "mmmbeeekk...mmbeeekk.." Lalu matanya terus memfokus kepada seekor anak kambing putih yang berlegar-legar tidak jauh dari tempatnya duduk. Si anak kambing yang baru belajar berdikari itu merayau-rayau di situ sambil meragut apa sahaja daun pokok untuk dimakan.

Lalu rasa marahnya membuak. Sudah berulang kali dia menghalau kambing itu dari kawasan rumahnya. Tapi si anak kambing ini tetap datang. Tetap datang meragut pokok dalam kawasan rumah. Suka benar si anak kambing ini. 

Tiba-tiba sahaja budak itu mendapat idea. Ibarat mendengar suara halus ke telinga untuk melakukan sesuatu yang jahat, si budak ini tersengih seorang. Lantas dia ke dapur rumahnya. Dia keluar semula dengan menggenggam beberapa cili hijau yang masih segar. Tanpa berlengah terus ditaburkan berdekatan si anak kambing itu. Dengan cepat si anak kambing terus meragut cili yang bertaburan itu, terus mengunyah dan menelannya. Tidak sampai seminit berlalu. Si anak kambing itu dengan tiba-tiba mengembik dengan kuat sambil melompat-lompat tanpa arah. Budak itu berasa agak cemas. Kambing itu tidak berhenti berbunyi dan melompat. Lalu dengan cepat kambing itu berlari seolah dikejar harimau lapar. Kambing itu terus berlari di seberang jalan dan hilang di sebalik rumah-rumah jiran. Namun suara yang mengembik tidak henti-henti tetap sayup kedengaran.

Budak itu terus cemas, bimbang tuan kambing itu yang tinggal betul-betul di depan rumahnya keluar dari rumah kedainya dan mencari kambingnya. Mujur tuannya tidak keluar. 

Hari berlalu. Budak itu berasa lega kerana kambing itu tidak lagi datang meragut daun-daun pokok di halaman rumahnya. Namun hati dia hairan bercampur bimbang. "Mati ke anak kambing tu makan lada?"Dia bertanya sendiri. Dia bimbang memikirkan, kalau si anak kambing tu mati, hantu kambing akan datang memaksa dia makan balik lada-lada yang dia pernah bagi kat dia. Sungguh, dia tak sanggup. Atau pun tuan kambing tu sendiri paksa dia makan lada, cicah kicap buat "colek". Tuan kambing itu tahu ke anak kambing dia termakan lada?

Jeng...jeng..

"ooo...kau bagi anak aku makan lada ye...siap ko..."



Monday, 11 March 2013

Nyalakan Aku Sebuah Harapan

Seorang lelaki keseorangan dalam bilik yang gelap. Tiada cahaya. Ketakutan dan kesunyian bergabung menjadi satu, menguasai fikirannya yang kosong. Dalam teraba-raba mencari pintu keluar, tiba-tiba tangannya tercapai suatu kotak. Perlahan-lahan dia menyentuh isi kotak itu. Terasa seperti lilin. Dia terus teraba-raba lalu tersentuh sesuatu. Terasa seperti mancis. Dengan cepat dia menyalakan mancis itu. Dia dapati ada tiga batang lilin dalam kotak itu. Dengan cepat dia mencapai satu lilin. Lalu dinyalakan lilin itu. "Baru terang sedikit bilik ini,"bisiknya. Dia mencapai lilin kedua dan ketiga lalu terus dinyalakan kedua-dua lilin itu. Setelah semua lilin itu dinyalakan biliknya telah terang. Dia tidak lagi ketakutan dalam kegelapan.
Tiba-tiba dua lilin telah padam. Tinggal satu sahaja lilin yang masih menyala.

Lilin pertama berkata, "Aku adalah kekayaan. Aku boleh menerangi hidup, tapi aku tidak kekal. Aku boleh terpadam."
Kemudian lilin kedua berkata,"Aku adalah kebahagiaan. Aku pun boleh menggembirakan, tapi aku juga tidak boleh kekal."

Lilin ketiga yang masih menyala berkata, "aku adalah harapan. Selagi kau mengharapkan aku, aku tidak akan terpadam."

...selagi harapan tidak terpadam....

Sunday, 10 March 2013

Jatuh, Bangun, Gagal, Berjaya

Tiada sesiapa pun mahu gagal dalam hidup. Namun hakikatnya, untuk berjaya bukanlah sesuatu yang mudah. Jatuh dan bangun, gagal dan berjaya adalah suatu perjalanan dalam hidup. Tokoh-tokoh terkenal juga melalui perjalanan sukar dalam hidup mereka sebelum mencapai kejayaan.

Albert Einstein yang kita kenali sebagai manusia genius hanya boleh bercakap apabila umurnya 4 tahun.
Albert Einstein

Isaac Newton, saintis terkenal sering gagal ketika sekolah dan diberi gelaran oleh guru-guru sebagai murid yang “tiada harapan”.
Isaac Newton

F.W Woolworth ketika berumur 21 tahun bekerja di kedai runcit dan sering dimarahi oleh pemilik kedai sebagai “seorang yang tidak pandai menjual”. Kini, Woolworth adalah antara rangkaian pasaraya terbesar di United Kingdom.

F.W Woolworth

Pengasas Disneyland, Mr Walt Disney ketika bekerja di syarikat akhbar pernah dimarahi oleh editornya oleh sebab “Tidak mempunyai imaginasi dan tidak pernah mempunyai idea yang bernas”. Walt Disney juga dipecat oleh editor suratkhabarnya kerana beliau dikatakan ketandusan idea.


Michael Jordan, pemain basketball terulung pernah dikeluarkan dari pasukan basketball ketika di sekolah menengah.
Michael Jordan

Thomas Edison, pencipta lampu mentol ketika di sekolah sering dimarahi oleh gurunya dengan melabelkannya sebagai “Seorang murid yang terlalu bodoh untuk pelajari apa sahaja”. Thomas Edison juga gagal dalam lebih 1,000 eksperimen dalam mencipta lampu mentol sebelum menjumpa formula sebenar cara menyalakan lampu mentol.


Thomas Edison

Fred Smith, pengasas Federal Express mendapat gred‘C” dalam proposalnya di Yale University untuk idea sistem penghantaran malam.

Fred Smith

Col. Harland Sanders, pengasas KFC telah gagal lebih dari 1000 kali untuk mendapat platform untuk memperkenalkan ayam hebatnya yang sangat terkenal kini.

Col. Harland Sanders

King C. Gillette, pengasas Gillete gagal hampir 6 tahun untuk mengumpulkan dana mengetengahkan ciptaannya iaitu pisau pencukur Gillitte.

King C. Gillette

Apa yang menakjubkan tentang mereka ini ialah sikap yang tidak pernah mengalah dan terus berusaha di sebalik kegagalan yang menghimpit mereka. Tiada istilah putus asa dalam pemikiran mereka. Mereka akan terjatuh sekali atau berulang kali, namun setiap kali terjatuh, mereka akan bangkit semula dengan langkah baru.

Saturday, 9 March 2013

Jangan Sombong

Bumi yang kita diami bukanlah sebesar mana di alam semesta ini. Lihat sahaja perbandingan bumi dengan planet-planet dan bintang-bintang lain.

Bumi dan planet-planet yang lebih kecil.

Bumi dan planet yang lebih besar.

Lihat saiz bumi berbanding matahari.

Apabila dibandingkan dengan bintang yang lebih besar, matahari pun kelihatan kecil. Bumi langsung tidak kelihatan.

Dalam perbandingan ini, matahari sudah terlalu kecil. Di manakah bumi?

Jadi usah terlalu berbangga dan menyombong diri. Sedangkan bumi terlalu kecil di alam semesta, apalagi manusia di atasnya. Betapa kerdilnya manusia di alam semesta ini.

Pada Suatu Hari Dalam Tahun 1990



Suasana petang itu di Kampung Gong Terap yang terletak di daerah Setiu, Terengganu adalah seperti biasa. Bunyi motosikal yang melalui jalan raya, kicauan burung-burung berterbangan dan suara kanak-kanak yang rancak merancang aktiviti petang menghiasi keadaan pada waktu itu.

Di suatu sudut di kampung itu, sekumpulan empat orang budak-budak dan seorang remaja lelaki rancak bercerita. Lagak mereka seolah merancang sesuatu. Ada seorang budak yang kelihatan lebih dominan daripada keempat yang lain rancak bercakap seolah sedang merangka pelan operasi syarikat Multi Level Marketing.

Selepas itu semua budak-budak itu beredar dan pulang ke rumah masing-masing. Namun selepas lima belas minit, masing-masing keluar semula dan berkumpul di suatu tempat. Hampir semua budak itu membawa beberapa helai pakaian yang dimasukkan dalam bungkusan plastik supaya tidak dicurigai oleh keluarga masing-masing. Cuma seorang sahaja yang dilihat tidak membawa sebarang pakaian.
"Mano Izu?"Tanya seorang dari mereka dalam dialek Setiu-Besut setelah melihat hanya mereka berempat yang ada.

Izu adalah satu-satunya remaja dalam kumpulan budak itu. Tiga daripada mereka berumur 9 tahun, seorang lagi adalah lebih besar badannya dan lebih tua iaitu 12 tahun. Budak 12 tahun itu adalah ketua dalam kumpulan itu. Tidak lama kemudian kelihatan remaja yang dipanggil Izu itu berlari-lari ke arah mereka dengan muka yang pucat seolah dikejar sesuatu. Kumpulan budak itu terperanjat apabila pada jarak kira-kira 500 meter di belakang Izu, mereka terpandang seseorang sedang berlari-lari sambil menjerit-jerit memanggil Izu.

"Eh, mokcik belake (belakang) tuh," Salah seorang budak itu berkata dengan reaksi terkejut melihat keadaan itu. Makcik yang dimaksudkan itu adalah mak kepada Izu. Wanita lingkungan 40-an dan berbadan gempal itu termengah-mengah mengejar Izu sambil menjerit-jerit kuat nama Izu. Wanita itu sungguh terperanjat sebaik melihat Izu keluar tergesa-gesa dari rumah dengan menyandang beg pakaian di bahu. Walaupun tidak senang dengan 'kelurusan' Izu yang secara terangan membawa beg pakaian, kumpulan budak hingusan itu telah bersedia dengan basikal masing-masing.

Sebaik Izu tiba, kumpulan itu terus bergegas dengan mengayuh basikal masing-masing menuju keluar dari kampung Gong Terap.

*********************************************************************************
Tiga hari sebelum kejadian:

"Kito akan gi berguru kat Bukit Keluang,"kata ketua kumpulan budak itu kepada empat yang lain.
"Mun nok nuntut (menuntut) ilmu gapo (apa)?"Tanya ketua kumpulan budak itu.
"Aku nok ilmu terbang", kata salah seorang budak itu.
"Aku nok ilmu kebal", kata yang seorang lagi.
"Aku nok ilmu buleh wat gapo sajo (buat apa sahaja),"kata seorang lagi.

Kumpulan budak mentah ini sangat taksub dengan cerita pendekar yang selalu ditonton di televisyen. Masing-masing berhajat hendak menjadi seorang pendekar. Aktiviti harian mereka ialah berlatih bergaduh dengan lagak seperti pendekar dalam televisyen. Mereka membuat rancangan yang tidak masuk akal iaitu bertapa di sebuah gua di Bukit Keluang yang terletak di daerah Besut yang jaraknya lebih 50 kilometer dari kampung Gong Terap itu.

Gua Bukit Keluang Besut, sebuah kawasan peranginan.
*********************************************************************************
Waktu menunjukkan pukul 7.30 malam. Kumpulan itu telah mengayuh basikal sejauh lebih 10 km melewati Kg. Pak Kancil. Dalam melayani kepenatan masing-masing, tiba-tiba mereka dihalang oleh sebuah kenderaan yang telah memotong dan berhenti betul-betul di depan mereka. Dalam tergamam mereka terlihat beberapa lelaki yang cukup dikenali mereka di kampung keluar dari lori berkapasiti 1 tan itu dan meluru ke arah mereka.
"wei budok, mun nok g mano ni?"Sergah salah seorang dari lelaki-lelaki tersebut.
"nok g berguru (bertapa) kat Bukit Keluang", sahut seorang dari kanak-kanak itu dengan suara terketar-ketar.
"sudoh,naik lori ni," kata lelaki itu lagi dengan nada suara keras.
Malam itu kanak-kanak itu dipaksa menaiki lori 1 tan itu tapi bukan menuju ke Bukit Keluang, tapi ke Pondok Polis Chalok sejauh 5 km dari situ.

Sebelum itu, kira-kira pukul 5.15 petang tadi, sebaik kumpulan budak-budak hingusan itu keluar dari kampung, mak Izu telah memberitahu orang kampung dan keluarga masing-masing tentang hal itu.

Lori 1 tan itu tiba di Pondok Polis Chalok. Kumpulan budak-budak itu terdiam. Masing-masing ketakutan. Selepas 5 minit berada dalam pondok polis, bapa masing-masing tiba. Salah seorang bapa mereka menggertak dengan suara keras untuk menyumbat anaknya dalam penjara. Serentak itu, bertaburanlah air mata budak itu dalam pondok polis itu disusuli teriakan ketakutan dan kekesalan sehingga tiada suara lain yang kedengaran selain suara budak itu. Namun tangisan itu tidak lama selepas masing-masing menyaksikan insiden yang tidak mungkin dapat dilupakan yang berlaku di depan mata masing-masing.

Di suatu sudut di dalam Pondok Polis itu, salah seorang budak-budak itu digertak oleh seorang polis untuk mengkhatankan budak itu dengan satu playar yang besar. Budak itu langsung tidak menunjukkan ketakutan. Tiada suara yang kedengaran dari mulutnya. Polis itu menanggalkan seluar budak itu namun dilihat masih terdapat satu seluar yang dipakai. Dia menanggalkan seluar kedua yang dipakai budak itu, tetapi masih terdapat satu lagi seluar. Lantas polis itu menanggalkan seluar ketiga dengan harapan itu adalah seluar terakhir yang dipakai budak itu. Namun setelah dilihat terdapat satu lagi seluar yang dipakai, masing-masing tidak dapat menahan gelak lagi. Semua yang ada di situ ketawa sampai terkeluar air mata termasuk budak yang menangis tadi. Rupa-rupanya budak itu memakai empat helai seluar sekali gus. Patutlah dia tidak membawa apa-apa pakaian tadi.

Peristiwa itu mencatat sejarah baru bukan sahaja bagi Kampung Gong Terap, tapi mungkin juga bagi mukim Chalok atau daerah Setiu atau negeri Terengganu, oleh sebab belum pernah lagi terjadi sekumpulan budak-budak yang betul-betul nekad melarikan diri dari kampung untuk bertapa di gua demi mempelajari ilmu pendekar.

...dan salah seorang daripada budak-budak itu ialah Arif Adam.






Wednesday, 6 March 2013

Ronaldo Luiz Nazario da Silva: Sumber Inspirasi Daripada Seorang Lagenda


Dia merupakan salah seorang lagenda bola sepak tersohor di dunia. Berbekalkan kemahiran menggelecek yang hebat, larian yang pantas dan sentuhan penyudah yang berbisa, pemain ini sentiasa menghadirkan mimpi ngeri kepada pemain-pemain pertahanan di dunia semasa eranya.

Prestasi yang memuncak semasa mewakili kelab Barcelona membolehkan pemain ini dipilih sebagai pemain terbaik dunia pada 1996 dan 1997 sebelum menyertai Inter Milan pada 1998.

Ronaldo dan Brazil hadir ke Pentas Piala Dunia 1998 dengan reputasi hebat sebagai pemain terbaik dunia dan juara bertahan Piala Dunia. Segalanya tampak Piala Dunia menjadi milik mereka sekali lagi sehinggalah malapetaka menimpa Ronaldo dan Brazil pada perlawanan akhir menentang Perancis.



Pada pagi sebelum perlawanan akhir, dia dikatakan diserang sawan dan tidak cergas untuk beraksi. Walau pun bergelut dengan masalah kecergasan, Ronaldo tetap diturunkan dan akhirnya dia gagal mempamer aksi diharapkan. Pada perlawanan akhir itu, Brazil tewas dan gagal mepertahankan Piala Dunia yang dimenangi mereka pada 1994. 

Selepas itu nasib malang seolah terus menghantui Ronaldo. Rentetan bermula pada  21 November 1999 ketika beraksi dalam perlawanan Serie A menentang Lecce yang merekodkan kecederaan lutut yang serius dialami Ronaldo sehingga terpaksa diusung keluar padang. Ujian perubatan mengesahkan pemain itu memerlukan pembedahan, sekaligus mengetepikannya daripada sebarang pertandingan antarabangsa selama empat bulan.



Dia kembali untuk perlawanan pertamanya pada 12 April, 2000 menentang Lazio dalam final Coppa Italia tetapi hanya untuk menyaksikannya beraksi hanya enam minit sebelum dia kembali mengalami kecederaan lutut dan terpaksa meninggalkan padang dengan kesakitan dan kehampaan. Pengesahan doktor terhadap kecederaan itu sungguh pahit untuk ditelan Ronaldo. Dia mengalami kecederaan lutut yang sama yang memberi ancaman yang besar terhadap karier bolasepaknya. Ramai peminat yang menyangka masa depannya selaku pemain bolasepak profesional akan berakhir.

Namun pada 2002, Jurulatih Brazil Luiz Felipe Scolari kemudian membuat keputusan berisiko dengan menyenaraikan pemain itu dalam skuad Piala Dunia di Korea/Jepun.

Meskipun ramai yang meragui kemampuannya ketika itu terutamanya tahap kecergasan yang kurang meyakinkan, dia berjaya membantu Brazil merangkul Piala Dunia kelima dan menjadi penjaring terbanyak kejohanan dengan sembilan gol dalam tujuh perlawanan



Kejayaan Ronaldo mampu memberi inspirasi kepada sesiapa jua yang melalui detik-detik sukar dalam hidup untuk tidak berputus asa dan terus berjuang sehingga mencapai apa yang dihajatkan.


Tuesday, 5 March 2013

Apabila Kambing Memanggil Harimau Untuk Hapuskan Biri-Biri

Di suatu tempat di pinggir sebuah hutan, tinggal sekumpulan biri-biri dan kambing. Dua kumpulan haiwan ini sering bergaduh kerana berebut makanan yang sama.

Oleh sebab tidak puas hati, ketua kumpulan kambing merancang sesuatu untuk menghapuskan kumpulan biri-biri ini. Tanpa pengetahuan kumpulan biri-biri itu, dia masuk ke dalam hutan berdekatan secara senyap. Dia meminta bantuan seekor harimau untuk masuk ke kawasan mereka dan membaham semua biri-biri itu. Untuk tidak menimbulkan kekecohan dia mensyaratkan harimau itu supaya membunuh seekor biri-biri sahaja setiap hari dan mesti dilakukan pada waktu malam.

Maka pada hari-hari berikutnya, bilangan biri-biri pun semakin berkurangan dan akhirnya langsung tiada. Hal ini sangat menggembirakan kambing-kambing itu. Mereka sangat memuji kecerdikan ketua mereka. Namun suasana kebingungan mula menyelubungi kumpulan kambing itu. Satu persatu ahli kumpulan mereka lesap. Setiap hari anggota kumpulan mereka berkurang hingga akhirnya tinggal si ketua itu sahaja.

Walaupun kehairanan, si ketua itu menjalani kehidupan seperti biasa. Dalam hatinya tetap gembira kerana dapat menikmati makanan tanpa perlu berebut dengan kambing-kambing lain.

Pada suatu malam seperti biasa dia bersiap untuk tidur. Namun tiba-tiba......................


Akhirnya si ketua kambing itu pun terkorban. Sehingga detik nyawa terakhirnya, dia masih tidak tahu selama ini harimau itulah yang menjadikan kambing-kambing di situ sebagai juadah makan malam. Di saat lehernya ditusuk dalam oleh sepasang taring harimau itu, dia masih tidak tahu kambing juga adalah makanan harimau itu dan bukan biri-biri sahaja.




Monday, 4 March 2013

Harga Sekeping Syiling

Pada suatu masa dulu tinggal seorang lelaki bersama isteri dan 3 orang anak-anaknya. Hidup mereka serba kekurangan. Dengan kerja yang tidak tetap dan upah yang tidak seberapa, sukar bagi lelaki ini memenuhi keperluan makanan harian mereka sekeluarga apatah lagi melengkapkan rumah dengan perabot.


Setiap hari yang dilalui dipenuhi oleh rungutan dan keluhan dari mulut lelaki ini. Anak-anaknya telah berhenti sekolah akibat tiada kemampuan untuk membayar yuran persekolahan. Isterinya yang dahulu pendiam berubah sikap menjadi pemarah. Tiada hari yang dilalui tanpa berlaku pentekaran antara suami isteri ini.

Suatu hari, dek tidak tahan dengan tekanan di rumah, lelaki ini keluar dari rumah untuk menenangkan dirinya. Dia berjalan menyusuri kampung-kampung sekitar kawasan rumahnya. Ketika melalui suatu jalan yang sunyi, kakinya tersepak sesuatu. Lantas dia membongkok dan mengutip benda itu. "Ah, sekeping duit syiling lama."katanya. "kemik pulak tu", rungutnya lagi. Walaupun rupa syiling itu buruk pada pandangan matanya, dia tetap ambil syiling tu dan memasukkan ke dalam poket seluarnya. Dia bercadang menukarkan duit syiling itu di sebuah bank di pekan berhampiran. Namun pegawai bank itu mencadangkan dia menukarkan duit syiling itu di kedai pengumpul wang lama.

Dia terus ke kedai pengumpul wang lama. Alangkah terkejutnya dia apabila pengumpul wang lama menawarkan RM 350.00 sebagai nilai pertukaran duit syiling lama itu. Dia tidak menyangka sebanyak itu nilai sekeping duit lama yang kemik dan buruk pada pandangan matanya itu. Tanpa berfikir panjang dia terus menukarkan duit syiling itu. "Mudahnya,"katanya dalam hati.

Dia mencongak-congak apa yang perlu dibuat dengan duit yang diterimanya. Dalam perjalanan pulang dia melintasi sebuah kedai perkakas. Dia melihat ada kayu yang dijual pada harga yang rendah. Dia terfikir untuk membuat rak dengan kayu-kayu itu oleh sebab isterinya selalu merungut tiada perkakas di rumahnya untuk meletakkan pasu-pasu. Lalu dengan dengan membayar RM5.00, dia membeli kayu-kayu itu dan memikulnya untuk pulang.

Dalam perjalanan dia melintasi sebuah bengkel pembuat perabot. Pembuat perabot itu telihat kayu yang dipikul lelaki itu. Menyedari kayu itu tinggi mutunya, pembuat perabot itu menawarkan nilai RM10.00 untuk membeli kayu itu. Walaupun pada mulanya ragu-ragu, lelaki itu akhirnya bersetuju dan dia menggunakan duit untuk membeli sebuah perabot yang telah siap di kedai itu. Dia meminjam sebuah kereta sorong dari pembuat perabot itu untuk membawa perabot itu ke rumahnya.

Di pertengahan perjalanannya, dia melintasi sebuah kawasan perumahan baru. Seorang wanita yang sedang menghias rumah barunya, melihat perabot yang dibawa lelaki itu dan berminat membelinya pada harga RM20.00. Apabila menyedari lelaki itu keberatan, dia menawarkan harga sebanyak RM25.00. Lelaki itu akhirnya setuju dan kemudian memulangkan kereta sorong ke bengkel pembuat perabot tadi.

Lelaki itu sampai di rumah dan mengira wang yang ada di poketnya. Semuanya RM380 melebihi RM350 yang diperoleh pada awalnya. Dia seakan tidak percaya mendapat wang sebanyak itu. Dengan gembira dia memberitahu hal itu kepada isterinya. Dia menggunakan wang itu untuk membeli makanan yang enak dan peralatan pertukangan. Lelaki itu akhirnya menjadi tukang membaik pulih rumah penduduk di kampungnya.

Mengapa manusia harus resah dan mengeluh dengan kehidupan ini? Sedangkan burung-burung yang berterbangan tanpa bantuan manusia dilindungi tuhan, apatah lagi manusia sebagai makhluk yang tinggi darjatnya. Rezeki yang tuhan bagi adalah luas dan ada ketikanya tanpa disangka-sangka. Cuma bukan semuanya mudah dan turun begitu sahaja seperti hujan mencurah dari langit. Ibarat memecahkan buluh untuk menikmati lemang di dalamnya, kita semua tidak mungkin boleh mendapatkan sesuatu dengan mudah, selain berdoa dan berusaha untuk mencapai sesuatu yang kita kejar itu.
 

Masalah Oh Masalah

Seorang ahli perniagaan pergi ke sebuah pulau di sebuah negeri dengan menaiki sebuah pesawat untuk berjumpa dengan seorang prospek pelanggannya di sana. Dia bercadang berada di sana selama lima hari. Pada hari pertama dan kedua segalanya berjalan lancar. Namun pada hari ketiga, tiba-tiba dia mendapat panggilan telefon dari seorang kakitangan di pejabat. Dia diberitahu bahawa pejabatnya telah dipecah masuk dan banyak aset syarikat telah hilang. Berita itu sangat mengejutkan. Dia berasa risau dan  tidak bersemangat untuk meneruskan agendanya di pulau berkenaan dan ingin segera pulang ke pejabatnya.


Dia terus menelefon syarikat penerbangan untuk menempah tiket. Namun dia diberitahu penerbangan seterusnya untuk keluar dari pulau itu ialah pada hari ahad iaitu dua hari berikutnya. Apakah yang mampu dia lakukan?Adakah dia tidak mampu berbuat apa-apa selain termenung dan gelisah sementara menunggu hari penerbangan?Adakah dia akan resah gelisah sehingga sanggup membatalkan agenda untuk memajukan perniagaannya di pulau itu?


Hakikatnya, tiada apa yang mampu dilakukan lelaki itu untuk kembali ke pejabat dengan segera selain hanya mampu berdoa supaya tiada perkara lebih teruk berlaku kepada syarikatnya. Perkara yang terjadi telah pun terjadi dan dia tidak mampu untuk berada pejabatnya. Sebenarnya terdapat masalah yang tidak akan selesai walaupun seseorang itu berfikir dari malam sampai pagi selama beberapa hari. Dalam kes seperti ini, bertenang dan berdoa adalah ubat paling mujarab.

Saturday, 2 March 2013

Kisah Tikus, Lembu dan Ular: Siapa Yang Kena?

Di suatu kawasan berhampiran rumah sepasang petani, tinggal sekumpulan tikus dan beberapa haiwan lain. Tikus itu selalu merosakkan makanan petani. Kumpulan haiwan ini selalu meredah masuk ke dapur rumah petani tersebut semasa ketiadaan tuan rumah untuk mencuri makanan. Suatu hari sepasang petani tersebut keluar ke pekan.

"Jom kawan-kawan,mereka dah keluar,kita redah..."
Seperti biasa kesempatan ini diambil oleh sekumpulan tikus itu untuk meredah dapur rumah petani itu untuk mencari makanan. Kebetulan hari itu, petani tersebut terlupa menutup pintu gerobok yang menyimpan makanan mereka dan peluang ini tidak dilepaskan oleh tikus-tikus itu untuk berpesta dan menikmati makanan itu. Dalam keseronokan menjamu selera, sepasang petani pun pulang. Tikus-tikus yang terkejut bertempiran lari kecuali seekor yang tertinggal. Tikus itu lari menyorok ke bawah meja tanpa disedari oleh petani itu. Tikus itu memerhati petani itu mengeluarkan makanan dari bungkusan plastik yang dibeli. Makanan yang dikeluarkan menyebabkan tikus hampir meleleh air liur dan mula memasang rancangan untuk mencuri pada waktu lain. Setelah asyik memerhati satu persatu makanan dikeluarkan, tiba-tiba tikus tu terkedu apabila melihat barang terakhir yang dikeluarkan oleh petani tersebut.

Barang itu ialah perangkap tikus.

Tikus itu terkejut. Setelah petani tu keluar dari dapur, tikus itu terus melarikan diri dan memberitahu kawan kawannya tentang perangkap itu. Namun mungkin disebabkan kekenyangan, tikus-tikus yang lain tidak mengambil endah terhadap tikus itu. Tikus itu tidak berpuas hati.

Tikus itu pergi menemui itik dan memberitahu tentang perangkap itu dan menyuruhnya berhati-hati.
Kata itik,"Mana mungkin petani itu mahu menangkap aku, kan dia suka telur aku ini."

Tikus itu berasa kecewa. Lalu dia berjumpa dengan seekor ular dan memberitahu tentang perangkap itu.
"Tidak mungkin perangkap itu untuk menangkap ular..lagipun badan aku terlalu besar untuk masuk ke perangkap itu," ular itu berkata.

Tikus masih tidak berpuas hati. Dia bergegas menemui seekor lembu dan memberitahu hal tersebut.
Dengan penuh sombong lembu itu mengajukan soalan, "Adakah kau tidak boleh membezakan antara perangkap tikus dengan perangkap lembu?"

Tikus berputus asa dan terus pulang ke rumah. Malam itu, ketika kawan-kawan lain sedang tidur, tikus itu tiba-tiba terdengar suara petani di dapur rumah. Tikus itu perlahan-lahan ke dapur rumah untuk mengetahui apa yang terjadi. Terperanjat tikus itu apabila melihat ular yang ditemuinya tadi terperangkap dan tersepit dalam perangkap tikus itu. Ular itu meronta-ronta untuk melepaskan diri. Isteri petani itu yang bergegas ke dapur setelah medengar suara bising dari suaminya tanpa disangka telah dipatuk ular itu. Petani itu tak sempat menyelamatkan isterinya lalu isterinya meninggal dunia. Dengan penuh marah, petani itu memukul ular tersebut hingga mati.

Selama beberapa hari, petani tersebut berkabung akibat terlalu sedih. Demi membalas budi penduduk kampung yang menguruskan jenazah isterinya, petani itu ingin mengadakan kenduri untuk menjamu mereka. Lalu petani itu menyembelih lembu tadi untuk dijadikan laut.

Oleh sebab sikap tidak mengambil hirau dan tidak berhati-hati, ular yang tidak berkaitan dengan perangkap tikus itu telah terkorban. Tanpa disangka juga, lembu pun terheret sama terkorban.

Itik berkata,"mujur aku tak masuk  ke dalam dapur rumah,"
Jadi, siapa yang kena?

Friday, 1 March 2013

Burung Rajawali : Episod 2

Pada usia 40 tahun, paruh burung Rajawali berubah menjadi terlalu panjang dan bengkok hingga menyukarkan burung ini untuk mengoyak daging mangsanya. Kukunya bengkok hingga sukar mencengkam dan bulu-bulu pada bahagian punggung dan sayap menjadi tebal dan tidak sekata hingga sukar untuk terbang tinggi. Pada saat ini, burung Rajawali harus memutuskan sama ada menunggu hari kematian atau melalui proses menyakitkan untuk meneruskan hidup sehingga 30 tahun lagi. Namun untuk meneruskan hidup, tiada jalan mudah. Burung Rajawali harus terbang ke puncak gunung untuk melalui proses pemulihan keadaan fizikalnya selama 150 hari dan di sana, kesakitan dan kesengsaraan sedang menunggu.

Peringkat permulaan yang dilakukan adalah mematahkan paruh yang terlalu panjang dan bengkok dengan menghentak paruh ke batu hingga patah. Proses yang 'kejam' ini sangat menyakitkan hingga mengeluarkan darah. Proses pertumbuhan paruh yang baru mengambil masa beberapa hari. Setelah paruh baru tumbuh, burung Rajawali mencabut kuku kaki yang sudah bengkok dengan paruhnya satu persatu. Proses pertumbuhan kuku baru mengambil masa lebih lama berbanding paruh dan sudah pasti sangat menyakitkan serta mengeluarkan darah. Setelah kuku yang baru tumbuh, burung Rajawali melalui proses terakhir iaitu mencabut bulu di bahagian punggung dan sayap yang terlalu tebal dan tidak sekata.

Setelah berjaya melalui proses pemulihan selama 150 yang penuh sengsara, burung Rajawali muncul dengan tubuh baru dan membolehkan hayatnya dipanjangkan selama 30 tahun lagi.

Apakah terdapat suatu nilai yang boleh kita ambil dari kisah derita burung Rajawali ini?Sudah tentu ada sesuatu yang bernilai.


Pahit Pun Madu

Ramai daripada kita suka perkara yang seronok, yang menggembirakan dan manis dalam hidup. Namun kehidupan manusia penuh warna warni. Ada banyak kepahitan dari kemanisan. Kita harus menerima kepahitan kerana dalam kepahitan itu banyak mengandungi penawar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...