Senja. Warna keemasan dari cahaya matahari galak mengintai di celah rimbunan daunan pokok yang tumbuh subur di sekitar kampung Cenderawasih. Burung-burung berkicau pulang ke sarang persis bernyanyi girang. Kanak-kanak yang keluar bermain sejak petang tadi telah mula pulang ke rumah masing-masing. Suasana itu menimbulkan rasa yang sungguh damai bagi Faris yang menjengahkan mukanya ke jendela bilik. Bayu lembut bertiup menjamah perlahan mukanya. Begitu mengasyikkan. Tubuhnya mula terasa segar sejak terjaga dari lena tadi. Terasa seperti tenaga dalam tubuh diganti semula dek kepenatan melampau sejak malam tadi. Dia mencapai tuala yang tersidai di penjuru bilik dan bergerak ke bilik mandi.
Malam hadir berteman bulan mengambang penuh dan kerdipan bintang-bintang. Faris ke beranda rumah. Dia merenung jauh ke langit malam yang indah. Dia sendawa. Kelazatan menikmati hidangan ikan baung masak lemak cili api masih terasa. Perutnya terasa kenyang. Baginya masakan ikan baung masak lemak cili api hasil tangan emaknya memang tiada tandingan. Terasa air tangan seorang ibu begitu ajaib. Memikat dan menggoda selera. Sedapnya tidak terkata.
Malam itu dia terasa dingin sekali. Sesekali angin menghembus dirasakan bagai mencucuk tajam ke tulang sumsum. Mungkin terkesan dek curahan hujan dalam seminggu dua ini.
"Faris, jauh termenung,"sapa suara dari belakang. Suara ayahnya, Hj.Hamdan.
"Tak ada apa ayah..saja ambil angin malam,"sahutnya.
"Macamana temuduga semalam?Ada harapan?" Tanya Hj.Hamdan.
"Yang ni macam ada harapan sikit ayah. Dah cuba yang terbaik,"jawab Faris. Faris tahu dia sengaja menyedapkan hati ayahnya. Walhal dia sendiri tidak begitu yakin akan memperoleh kerja yang ditawarkan biarpun memasang harapan yang menggunung tinggi.
"Kalau gitu, bagus lah..ayah doakan kau berjaya dapat kerja ni..kesian tengok kau ke hulu ke hilir jual barang,"sahut Hj.Hamdan lagi.
"Terima kasih ayah..harap dapat la tu,"jawab Faris. Dia memang agak serius bila bercakap dengan ayahnya berbanding Hajah Mah, emaknya. Ayahnya sejak kecil memang tegas dengan dia dan sepuluh adik beradik lain. Mereka hanya bergurau senja dengan Hajah Mah sahaja. Percakapan yang agak serius itu lebih menjurus kepada perasaan segan dan hormat, bukan menggambarkan kekakuan dan tidak mesra.
Azan Isyak berkumandang. Hj.Hamdan bersiap ke masjid.
"Kau tak ikut sekali Faris?"
"Ayah pergi la dulu.."
Seketika kemudian motosikal EX5 Hj.Hamdan menderum membelah suram malam ke masjid kira-kira 300 meter dari rumah. Faris masih di beranda. Rasa malas menyelinap di seluruh tubuh. Malam sejuk dirasakan seperti ais tebal yang membungkus kemas kedua kaki dan tangannya. Perasaan itu seperti menghasutnya supaya tidak pergi ke masjid. Lalu dia bungkam di situ. Dibuai angin malam.
Seketika kemudian dia bangun dari kerusi di beranda. Terus ke bilik mandi, mengambil wuduk lalu menunaikan solat Isyak. Selesai solat, telefon bimbitnya berbunyi. Dia melihat skrin telefon. New message.
Izzat: oit, jom minum.
Faris: kat mane
Izzat: tempat biasa, kedai kopi Mak Ngah Bedah.
Faris: jom
Segera dia menukarkan kain pelikatnya kepada seluar jean. Lalu keluar dari bilik.
"Mak, saya keluar minum jap,"katanya sebaik Hajah Mah keluar dari bilik sejurus selesai solat.
"Jangan lewat sangat balik,"pesan Hajah Mah.
Faris tiba di kedai kopi Mak Ngah Bedah kira-kira 10 minit kemudian. Jarak kedai itu dengan rumahnya tidaklah jauh, cuma sengaja diperlahankan motosikalnya demi menikmati suasana malam. Sebaik sampai, dilihatnya Izzat telah duduk di satu meja kedai itu dengan segelas teh tarik.
"Bagi nescafe panas satu, Kak Jah,"pesan Faris pada pembantu kedai Mak Ngah Bedah.
"Hai, bukan main lagi kau yer..,"tegur Faris.
"Kenape?"tanya Izzat seolah tak faham. Namun tetap tersengih kerana faham apa yang dimaksudkan Faris. Sekejap dia berpaling ke muka Faris, tapi cepat-cepat dikalihkan pada kaca televisyen. Siaran Langsung konsert mingguan penyanyi pujaannya, Siti Nurhaliza.
"Kau nampak Siti ke nampak Ayu?"kata Faris lagi sambil ketawa kecil.
"Eh, bukan dekat sama ke?" balas Izzat.
"Aa la..same..hampir tak sepadan dengan kau yang...hehehe,"Faris tidak menyambung kata-kata. Tapi hanya tersengih nakal. Dia tidak nafikan wajah Ayu Raihan, yang Izzat tergila-gilakan itu sekilas pandang seiras dengan penyanyi terkenal itu.
"Nape kau tersengih?" tanya Izzat sambil memandang tepat muka Faris.
"Aku lucu.."
"Apa yang lucu?"
"Aku terfikir macamane cerita dongeng boleh jadi benar?"
"Apa dia?"
"Kisah putera katak yang berkahwin dengan puteri raja yang jelita betul-betul boleh jadi.."kata Faris, menahan ketawa.
"Ceh..kau kata aku kan?kau penah dengar tak hikmat balingan kuih bahulu peringkat 12?"
Belum sempat Faris bersuara, satu kuih bahulu disumbat tepat ke mulutnya. Faris tersedak. Terus dicapainya air kosong untuk melegakan tekak. Serentak itu meledak ketawa dua pemuda itu. Mereka yang lain di kedai hanya memerhati sambil tersenyum. Biasa melihat gelagat dua sekawan ini.
"Kau macamane?"Tanya Izzat selepas mereka diam seketika menyaksikan tayangan di televisyen.
"Macamane ape?"
"Takkan tak ada makwe..muka handsome macam kau ni takkan tak pasang sorang dua?"
"Orang tak berduit macam aku ni mana pompuan nak..lain la kau..dah keje tetap.."
"Alaa..keje pegawai kerajaan,bukan boleh mewah sangat pun.."sahut Izzat. Izzat yang setahun awal menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak berjaya mendapat pekerjaan sebagai Pegawai di Jabatan Pertanian Bandar Permaisuri.
"Aku tak percaya la.."
"Tak percaya ape?"
"Takkan takde pompuan yang kau minat?"
Faris terdiam. Seketika, wajah Intan Syazliana datang ke benak fikirannya lalu tersenyum manis. Ingin didekatinya tapi wajah itu menjauh darinya. Hanya seketika dan hilang.
"Kau ni..sebut pompuan, terus diam.."celah Izzat menghentikan lamunan Faris.
Faris tersenyum tawar. Malam itu mereka berborak hampir ke tengah malam sebelum balik ke rumah.
Faris tiba di rumah ketika Haji Hamdan dan Hajah Mah dibuai lena di bilik. Dia terus menuju ke biliknya sambil menguap beberapa kali. Lantas dia membaringkan diri ke katil. Pukul 12.30 pagi. Biar pun menguap banyak kali, matanya masih belum mahu lelap. Diambilnya telefon bimbitnya. Jarinya menekan bahagian
directory, matanya terus fokus ke satu nama. Intan Syazliana. Ingin sekali dia menghantar sms kepada Intan Syazliana. Tapi dia terangak-agak. Mungkinkah dia sudah lena?Dia bertanya sendiri. Namun gelodak jiwanya tidak tertahan. Perasaan gelisah datang tanpa diundang. Menghimpit dan menyesak dada.
Faris: assalamualaikum..intan,wat ape?
Dia memerhati skrin telefon. Tiada apa-apa isyarat penerimaan sms. Dia menarik nafas panjang untuk menenangkan perasaan sendiri.
Hmm,mungkin dia dah tidur, Faris meneka. Dia meletakkan telefonnya di meja kecil di tepi katil lalu menarik selimut untuk cuba memejamkan mata yang masih degil. Memang dia begitu. Sukar melelapkan mata,apatah lagi bila diamuk gelisah begitu. Kenapa dia rasa resah?Faris sendiri tidak pasti. Dia hanya menyedari perasaan aneh ini terbibit dalam dirinya sejak terserempak dengan Intan Syazliana petang tadi. Tiba-tiba dia terdengar isyarat bunyi telefonnya. Isyarat terima sms.
Intan Syazliana: waalaikumussalam. tak wat ape..tgh nk tdo
Faris berasa sangat teruja.
Belum tidur lagi rupanya dia,bisiknya.
Faris: lewat awk tidur..
Intan Syazliana: emmm,kadang2 memang lewat gak..
Faris: awak wat ape skrg..maksud sy masih study atau dh mula keje?
Intan Syazliana: study..
Faris: kt mane
senyap
Faris: intan..
Senyap..
Mata Faris mula tak tertahan dek amukan mengantuk. Lalu dia tertidur. Sebaik azan subuh berkumandang, Faris terjaga. Tangannya mencapai telefon bimbitnya. Matanya terus tertarik ke skrin telefon. Lalu bibirnya mengukir senyum.
NOTA: Ini adalah entry terakhir novel Sesejuk Hawa Pagi di Bumi Cenderawasih. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, nantikan kemunculan novel ini di pasaran pd masa yg akan dtg...Terima kasih.
No comments:
Post a Comment