nuffnang

Monday, 26 May 2014

Sesejuk Hawa Pagi Di Bumi Cenderawasih: Bab 4

Senja. Warna keemasan dari cahaya matahari galak mengintai di celah rimbunan daunan pokok yang tumbuh subur di sekitar kampung Cenderawasih. Burung-burung berkicau pulang ke sarang persis bernyanyi girang. Kanak-kanak yang keluar bermain sejak petang tadi telah mula pulang ke rumah masing-masing. Suasana itu menimbulkan rasa yang sungguh damai bagi Faris yang menjengahkan mukanya ke jendela bilik. Bayu lembut bertiup menjamah perlahan mukanya. Begitu mengasyikkan. Tubuhnya mula terasa segar sejak terjaga dari lena tadi. Terasa seperti tenaga dalam tubuh diganti semula dek kepenatan melampau sejak malam tadi. Dia mencapai tuala yang tersidai di penjuru bilik dan bergerak ke bilik mandi.

Malam hadir berteman bulan mengambang penuh dan kerdipan bintang-bintang. Faris ke beranda rumah. Dia merenung jauh ke langit malam yang indah. Dia sendawa. Kelazatan menikmati hidangan ikan baung masak lemak cili api masih terasa. Perutnya terasa kenyang. Baginya masakan ikan baung masak lemak cili api hasil tangan emaknya memang tiada tandingan. Terasa air tangan seorang ibu begitu ajaib. Memikat dan menggoda selera. Sedapnya tidak terkata.

Malam itu dia terasa dingin sekali. Sesekali angin menghembus dirasakan bagai mencucuk tajam ke tulang sumsum. Mungkin terkesan dek curahan hujan dalam seminggu dua ini.
"Faris, jauh termenung,"sapa suara dari belakang. Suara ayahnya, Hj.Hamdan.
"Tak ada apa ayah..saja ambil angin malam,"sahutnya.
"Macamana temuduga semalam?Ada harapan?" Tanya Hj.Hamdan.
"Yang ni macam ada harapan sikit ayah. Dah cuba yang terbaik,"jawab Faris. Faris tahu dia sengaja menyedapkan hati ayahnya. Walhal dia sendiri tidak begitu yakin akan memperoleh kerja yang ditawarkan biarpun memasang harapan yang menggunung tinggi.
"Kalau gitu, bagus lah..ayah doakan kau berjaya dapat kerja ni..kesian tengok kau ke hulu ke hilir jual barang,"sahut Hj.Hamdan lagi.
"Terima kasih ayah..harap dapat la tu,"jawab Faris. Dia memang agak serius bila bercakap dengan ayahnya berbanding Hajah Mah, emaknya. Ayahnya sejak kecil memang tegas dengan dia dan sepuluh adik beradik lain. Mereka hanya bergurau senja dengan Hajah Mah sahaja. Percakapan yang agak serius itu lebih menjurus kepada perasaan segan dan hormat, bukan menggambarkan kekakuan dan tidak mesra.

Azan Isyak berkumandang. Hj.Hamdan bersiap ke masjid.
"Kau tak ikut sekali Faris?"
"Ayah pergi la dulu.."
Seketika kemudian motosikal EX5 Hj.Hamdan menderum membelah suram malam ke masjid kira-kira 300 meter dari rumah. Faris masih di beranda. Rasa malas menyelinap di seluruh tubuh. Malam sejuk dirasakan seperti ais tebal yang membungkus kemas kedua kaki dan tangannya. Perasaan itu seperti menghasutnya supaya tidak pergi ke masjid. Lalu dia bungkam di situ. Dibuai angin malam.

Seketika kemudian dia bangun dari kerusi di beranda. Terus ke bilik mandi, mengambil wuduk lalu menunaikan solat Isyak. Selesai solat, telefon bimbitnya berbunyi. Dia melihat skrin telefon. New message.

Izzat: oit, jom minum.
Faris: kat mane
Izzat: tempat biasa, kedai kopi Mak Ngah Bedah.
Faris: jom

Segera dia menukarkan kain pelikatnya kepada seluar jean. Lalu keluar dari bilik.
"Mak, saya keluar minum jap,"katanya sebaik Hajah Mah keluar dari bilik sejurus selesai solat.
"Jangan lewat sangat balik,"pesan Hajah Mah.

Faris tiba di kedai kopi Mak Ngah Bedah kira-kira 10 minit kemudian. Jarak kedai itu dengan rumahnya tidaklah jauh, cuma sengaja diperlahankan motosikalnya demi menikmati suasana malam. Sebaik sampai, dilihatnya Izzat telah duduk di satu meja kedai itu dengan segelas teh tarik.
"Bagi nescafe panas satu, Kak Jah,"pesan Faris pada pembantu kedai Mak Ngah Bedah.
"Hai, bukan main lagi kau yer..,"tegur Faris.
"Kenape?"tanya Izzat seolah tak faham. Namun tetap tersengih kerana faham apa yang dimaksudkan Faris. Sekejap dia berpaling ke muka Faris, tapi cepat-cepat dikalihkan pada kaca televisyen. Siaran Langsung konsert mingguan penyanyi pujaannya, Siti Nurhaliza.
"Kau nampak Siti ke nampak Ayu?"kata Faris lagi sambil ketawa kecil.
"Eh, bukan dekat sama ke?" balas Izzat.
"Aa la..same..hampir tak sepadan dengan kau yang...hehehe,"Faris tidak menyambung kata-kata. Tapi hanya tersengih nakal. Dia tidak nafikan wajah Ayu Raihan, yang Izzat tergila-gilakan itu sekilas pandang seiras dengan penyanyi terkenal itu.
"Nape kau tersengih?" tanya Izzat sambil memandang tepat muka Faris.
"Aku lucu.."
"Apa yang lucu?"
"Aku terfikir macamane cerita dongeng boleh jadi benar?"
"Apa dia?"
"Kisah putera katak yang berkahwin dengan puteri raja yang jelita betul-betul boleh jadi.."kata Faris, menahan ketawa.
"Ceh..kau kata aku kan?kau penah dengar tak hikmat balingan kuih bahulu peringkat 12?"
Belum sempat Faris bersuara, satu kuih bahulu disumbat tepat ke mulutnya. Faris tersedak. Terus dicapainya air kosong untuk melegakan tekak. Serentak itu meledak ketawa dua pemuda itu. Mereka yang lain di kedai hanya memerhati sambil tersenyum. Biasa melihat gelagat dua sekawan ini.
"Kau macamane?"Tanya Izzat selepas mereka diam seketika menyaksikan tayangan di televisyen.
"Macamane ape?"
"Takkan tak ada makwe..muka handsome macam kau ni takkan tak pasang sorang dua?"
"Orang tak berduit macam aku ni mana pompuan nak..lain la kau..dah keje tetap.."
"Alaa..keje pegawai kerajaan,bukan boleh mewah sangat pun.."sahut Izzat. Izzat yang setahun awal menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak berjaya mendapat pekerjaan sebagai Pegawai di Jabatan Pertanian Bandar Permaisuri.
"Aku tak percaya la.."
"Tak percaya ape?"
"Takkan takde pompuan yang kau minat?"
Faris terdiam. Seketika, wajah Intan Syazliana datang ke benak fikirannya lalu tersenyum manis. Ingin didekatinya tapi wajah itu menjauh darinya. Hanya seketika dan hilang.
"Kau ni..sebut pompuan, terus diam.."celah Izzat menghentikan lamunan Faris.
Faris tersenyum tawar. Malam itu mereka berborak hampir ke tengah malam sebelum balik ke rumah.

Faris tiba di rumah ketika Haji Hamdan dan Hajah Mah dibuai lena di bilik. Dia terus menuju ke biliknya sambil menguap beberapa kali.  Lantas dia membaringkan diri ke katil. Pukul 12.30 pagi. Biar pun menguap banyak kali, matanya masih belum mahu lelap. Diambilnya telefon bimbitnya. Jarinya menekan bahagian
directory, matanya terus fokus ke satu nama. Intan Syazliana. Ingin sekali dia menghantar sms kepada Intan Syazliana. Tapi dia terangak-agak. Mungkinkah dia sudah lena?Dia bertanya sendiri. Namun gelodak jiwanya tidak tertahan. Perasaan gelisah datang tanpa diundang. Menghimpit dan menyesak dada.

Faris: assalamualaikum..intan,wat ape?

Dia memerhati skrin telefon. Tiada apa-apa isyarat penerimaan sms. Dia menarik nafas panjang untuk menenangkan perasaan sendiri.
Hmm,mungkin dia dah tidur, Faris meneka. Dia meletakkan telefonnya di meja kecil di tepi katil lalu menarik selimut untuk cuba memejamkan mata yang masih degil. Memang dia begitu. Sukar melelapkan mata,apatah lagi bila diamuk gelisah begitu. Kenapa dia rasa resah?Faris sendiri tidak pasti. Dia hanya menyedari perasaan aneh ini terbibit dalam dirinya sejak terserempak dengan Intan Syazliana petang tadi. Tiba-tiba dia terdengar isyarat bunyi telefonnya. Isyarat terima sms.

Intan Syazliana: waalaikumussalam. tak wat ape..tgh nk tdo

Faris berasa sangat teruja.
Belum tidur lagi rupanya dia,bisiknya.

Faris: lewat awk tidur..
Intan Syazliana: emmm,kadang2 memang lewat gak..
Faris: awak wat ape skrg..maksud sy masih study atau dh mula keje?
Intan Syazliana: study..
Faris: kt mane

senyap

Faris: intan..

Senyap..

Mata Faris mula tak tertahan dek amukan mengantuk. Lalu dia tertidur. Sebaik azan subuh berkumandang, Faris terjaga. Tangannya mencapai telefon bimbitnya. Matanya terus tertarik ke skrin telefon. Lalu bibirnya mengukir senyum.


NOTA: Ini adalah entry terakhir novel Sesejuk Hawa Pagi di Bumi Cenderawasih. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, nantikan kemunculan novel ini di pasaran pd masa yg akan dtg...Terima kasih.

























Wednesday, 14 May 2014

Sesejuk Hawa Pagi Di Bumi Cenderawasih: Bab 3

Sesudah tersempak dengan Faris petang itu, Intan Syazliana terus pulang ke rumah dengan motosikal scooter milik kakaknya. Sebaik sampai dia terus disapa Azlin, kakaknya yang mesra dipanggil Along.
"Dapat tak tiket tu intan?"
"Dapat,"jawabnya ringkas. Kepenatan dan kepanasan berjemur masih terasa. Muncung saja bibirnya.
"Alaa..bucuk-bucuk, jangan muncung gitu, Along masak spesial untuk intan hari ni,"balas Azlin melihatkan muka muram Intan Syazliana. Intan Syazliana hanya tersenyum dan terus masuk ke rumah menuju ke biliknya. Sejurus menanggalkan tudung dia terus ke dapur. Perutnya mula mendendangkan lagu sentimental meminta makanan. Melihatkan lauk kegemarannya, asam pedam ikan pari terhidang di depan mata dia terus menikmati hidangan yang masih panas itu.

"Nah Along, tiket dua keping," kata Intan Syazliana sambil menghulurkan tiket perlawanan akhir bolasepak Kelab Malaysia kepada kakaknya.
"Along nak pergi dengan siapa nanti tengok bola?"Tanyanya.
"Dengan kawan la..,"jawab kakaknya ringkas.
"Terima kasih adik Along yang comel, kalau tak tak dapat tiket ni. Tak dapat la nak tengok lelaki pujaan Along kat padang.."sambung Azlin.
Intan Syazliana terdiam seketika.
Sejak bila Along suka tengok bola?Dia berfikir sendiri sambil merenung muka kakaknya yang nampak ceria dan manis. Muka yang hampir seiras dengannya. Malah, ketinggian pun hampir sama. Cuma Azlin tiada lesung pipit dan berkaca mata. Walaupun jarak usia mereka 10 tahun, namun wajah Azlin tampak bukan gadis yang menghampiri usia 30. Mungkin badannya yang kecil menampakkan raut keanakan pada wajahnya.

Sejak kehilangan kedua-dua orang tuanya tiga tahun lepas, Intan Syazliana tinggal berdua dengan kakaknya. Azlin adalah satu-satunya kakaknya. Dia tidak mempunyai adik beradik lain. Kepada Azlin lah tempatnya mencurah kasih. Berkongsi suka duka. Tugas Azlin sebagai guru di sekolah berhampiran kampungnya memberikannya banyak masa untuk diluangkan bersama Intan Syazliana. Namun Intan Syazliana sedar, suatu masa nanti kakaknya juga mempunyai kehidupannya sendiri. Suatu hari nanti kakaknya juga akan berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Dan dia terpaksa mencari kehidupannya sendiri nanti.

Intan Syazliana menguap beberapa kali. Rasa mengantuk mula menyerang bila diterjah keletihan. Jam menghampiri 4 petang. Dia hampir terlupa tentang solat zohor yang belum ditunaikan. Lantas dia bergegas mengambil wuduk dan menunaikan kewajipan itu. Seusai bersolat, dia terus membaringkan tubuh ke katil. Tanpa dipinta, fikirannya terbayangkan lelaki itu. Bertubuh tegap dan agak tinggi, berkulit sawo matang, berkumis nipis dan raut muka yang manis. Ketua Pengawas sekolahnya dulu yang digilai ramai pelajar perempuan dan paling dibencinya sepanjang dia menjadi Ketua Pengawas. Faris Hakimi....

Dia mengiring ke kiri dan kanan. Biarpun diulit rasa mengantuk dan letih, namun matanya tetap berdegil untuk tidur. Puas dia memejamkan mata, namun masih belum terlena. Bayangan wajah Faris datang di segenap ruang minda. Menjengah dan mengganggu. Kejadian 5 tahun lepas datang menjelma. Membuka semula jendela kenangan lama.

Faris, kenapa kau muncul lagi, bisiknya sendiri.



Tuesday, 13 May 2014

Sesejuk Hawa Pagi Di Bumi Cenderawasih: Bab 2

Seketika cuma mata mereka bertaut. Dengan cepat gadis itu memalingkan muka ke depan. Faris terkesima. Wajah gadis itu mengingatkannya pada seseorang. Puas dia menyelongkar kotak memori di kepalanya, namun dia masih tidak mengingati gadis itu.
Hmm, mungkin orang lain, bisik hatinya.
Dia terus menumpukan perhatian terhadap kaunter tiket yang semakin dekat di matanya. Gadis itu telah hilang di pandangan. Dia sempat melihat gadis itu membeli tiket dan berlalu pergi. Hilang di celah ratusan manusia di situ. Setelah mendapat dua keping tiket, dia terus berjalan mendapatkan Izzat yang dari tadi menunggu di motosikal.
"Hai, kata nak bergilir..aku tunggu kau call gak..,"kata Izzat sambil menghulur helmet kepada Faris. Faris hanya tersengih menyedari dia terlupa tentang Izzat yang menunggu di motosikal.
"Eh, aku nak ke toilet jap..kau tunggu sini dulu,"kata Faris. Tanpa menunggu reaksi Izzat, Faris terus berjalan laju menuju ke tandas awam berhampiran.

Selesai melunaskan hajat, dia terus bergegas ke motosikal. Tanpa disedari, dia terlanggar bahu seorang gadis yang keluar dari tandas wanita bersebelahan.
"Sorry cik..Eh..,"Faris terhenti suara.
Gadis tadi. Gadis yang memakai baju merah berlengan panjang dan bertudung hitam itu. Seketika mata mereka bertentang namun cepat-cepat gadis itu berpaling ke arah lain.
"Eh bukan ke awk Intan...Intan sya..sya....,"baru dia teringat nama gadis itu, tapi teragak untuk menyebut nama penuh.
"Intan Syazliana, Faris Hakimi,"sahut gadis itu bersahaja.
"Ingat lagi nama saya ye,"balas Faris.
"Siapa yang tak kenal Ketua Pengawas paling tegas kat sekolah dulu,"sahut Intan sambil tersenyum nipis.
Faris Hakimi tersengih. Fikiran Faris mula melayang ke masa lepas. 5 tahun lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Permaisuri. Dia masih ingat dia selalu mengambil nama pelajar yang selalu datang lewat setiap hari Isnin. Nama Intan Syazliana, pelajar tingkatan 2, sentiasa mengisi ruang buku catatan pengawas pada hampir setiap minggu. Bila ditanya sebab kelewatan, dia sentiasa mendiamkan diri. Akhirnya dia mengaku, setiap hari minggu dia menolong ibu bapanya di gerai makan milik keluarganya. Masa perniagaan yang menjangkau tengah malam merentap masa rehatnya. Keletihan mencengkam pagi Isnin, memaksanya lambat ke sekolah. Ego sebagai Ketua Pengawas membahang nada suara Faris bila bertanyakan masalah Intan Syazliana. Lantas membibitkan rasa meluat yang akhirnya membuahkan kebencian Intan Syazliana terhadap Faris. Namun kebencian itu berakhir sejurus berlaku suatu kejadian sebelum Faris selesai menduduki SPM dulu.

Intan Syazliana di mata Faris kini cukup berbeza berbanding 5 tahun lalu. Tiada lagi cermin mata berbingkai tebal dipakai Intan Syazliana. Tiada lagi tudung senget dikenakan. Tiada lagi jerawat batu di pipi kiri dan kanan. Di depannya kini ialah seorang gadis ayu, berkulit licin dan tanpa kaca mata. Cukup berbeza. Cuma lesung pipit di pipinya tetap kelihatan yang mengingatkan Faris terhadap gadis itu tadi. Faris sempat meminta nombor telefon Intan Syazliana sebelum berlalu menuju ke motosikalnya di tepi Stadium Permaisuri.

"Besar hajat Faris..Lama sangat ni..Hadas besar ke..,"sapa Izzat yang dari tadi menunggu.
"Tak sengaja,"jawab Faris spontan tanpa menceritakan tentang Intan Syazliana yang baru terserempak dengannya. Faris menghidupkan enjin motosikalnya dan membawa Izzat bersamanya menuju ke warung cendol berhampiran untuk menghilangkan haus sebelum pulang ke rumah.

Sebaik sampai di rumah, Faris terus ke bilik menghempaskan tubuh yang masih penat dan terasa lemah ke katil. Kepenatan pulang dari Kuala Lumpur menghadiri temuduga semalam masih terasa. Ini adalah temuduga ketiga yang dihadirinya selepas 3 bulan menamatkan pengajian Kejuruteraan Kimia di sebuah universiti di selatan tanahair. Dia sangat berharap dapat merebut jawatan sebagai jurutera yang ditawarkan meskipun berdepan saingan sengit calon-calon lain. Dia sudah penat bekerja sebagai jurujual jualan langsung sebuah syarikat barangan elektrik di Bandar Permaisuri. Dia akui dia tidak betah menyerap kata-kata negatif hampir setiap kali ingin menjual barang kepada orang ramai. Pernah dia dikejar anjing liar ketika sedang berjalan kaki di sebuah kawasan perumahan berhampiran bandar. Larian ala Watson Nyambek yang dilakukan ketika dikejar menyebabkan seluarnya terkoyak dan barang yang ingin dijual bertaburan jatuh. Sudahnya, dia pulang hampa. Membawa kepenatan dan kekecewaan. Semua itu menjadikannya lemah. Lemah dalam meneruskan kerja sebagai jurujual. Dia tidak sanggup lagi.

Hari menghampiri senja. Faris terlena keletihan.








Monday, 12 May 2014

Sesejuk Hawa Pagi Di Bumi Cenderawasih: Bab 1

Hari merangkak pagi. Matahari kian menampakkan wajah. Menyuluh hening pagi. Daunan pokok-pokok hijau di tepi jalan masih kebasahan dek curahan hujan malam tadi. Angin yang bertiup perlahan menggerakkan rimbun daun seolah penari yang melenggok mengikut alunan lagu. Sebuah rumah kayu di tengah Kampung Cenderawasih itu masih kelihatan sunyi seolah tiada penghuni. Suara burung-burung menyanyi dan keriuhan kanak-kanak yang bermain menghiasi suasana pagi itu. Namun kemeriahan itu tidak mampu membangkitkan seorang pemuda yang masih lena di rumah itu.

"Eh, tak bangkit-bangkit lagi budak ni," terdengar suatu suatu dari bahagian dapur rumah. 
"Entah, senyap je..Cuba maknya kejutkan..Kan sampai tengahari dibuatnya tidur,"sahut satu suara yang lain.
Perlahan-lahan tubuh itu bangun. Berjalan perlahan menuju suatu bilik di rumah itu. Diketuknya pintu bilik berkali-kali.

"Faris...oo Faris...bangun..dah dekat tengahari ni..."
Masih sunyi reaksi dari bilik.
"Faris...."makin kuat sunyi memanggil.
"Ye mak...."baru kedengaran suara dari dalam bilik. Tapi begitu lemah. Antara dengar dan tidak. Pemuda di katil itu dengan perlahan membuka mata. Dia menggeliatkan tubuh yang terasa lemah. Matanya perlahan dibuka. Terasa pedih dan berair disuluh silau matahari dari jendela rumah yang berkaca. Digosok-gosok matanya yang terasa mengecil. Dengan rasa malas dia membangkitkan tubuhnya. Kakinya terus menuju ke pintu. Seraya membuka, pandangan matanya terus bersua muka dengan ibunya yang sedari tadi terjegat di pintu bilik itu. Dia tersenyum kecil.

"Pukul berapa ni mak," dia bertanya selamba.
"Pukul 11.30 dah," jawab emaknya, ringkas.
"Hah?11.30?"Jawapan ringkas itu cukup mengejutkan dirinya. Seperti ada suatu aura yang mengalir dalam badan hingga mencetuskan tindak balas pantas dalam sistem tubuhnya. Serta merta dia berlari ke bilik, dicapainya tuala dan bergegas ke bilik mandi.

Di sebuah rumah di hujung kampung itu, seorang lelaki muda mundar mandir di halaman rumahnya. Sesekali dia menjenguk ke hujung jalan dan sesekali dia berpatah semula ke tepi beranda rumah. Berkali-kali dia melihat jam tangannya.

"Ish, mana Faris ni..janji jam 10..,"rungutnya sendiri.
Berapa ketika menunggu, nun dari jauh ternampak kelibat seorang lelaki menunggang motosikal dengan laju ke arah rumahnya.
"Sorry Izzat..hehe..," kata Faris sambil tersengih.
"Ok..ok jom..dah lewat ni,"sahut Izzat tanpa banyak soal, menyedari masa yang kian pantas menghambat.
Seusai memakai helmet, Faris terus memecut motosikal dengan membonceng Izzat. Bunyi enjin menderum kuat membawa dua lelaki itu menuju ke Bandar Permaisuri.

Bandar Permaisuri. Bandar yang kian membangun. Bak cendawan yang tumbuh selepas hujan, banyak bangunan baru didirikan. Namun di sebalik semua itu, pihak Majlis Perbandaran masih mengekalkan kehijauan pokok-pokok di sekeliling bandar. Bandar Permaisuri tetap menarik pada pandangan mata. Menyusur jalan sepanjang bandar, seolah menyusuri jalan di pinggiran taman yang indah. Rimbunan daun pokok di sepanjang jalan ibarat payung yang menahan pancaran cahaya matahari. Redup dan dingin.

Dia sekawan itu telah sampai ke kaunter jualan tiket perlawanan akhir bola sepak kelab Malaysia di Stadium Permaisuri. Ramai orang yang telah beratur untuk membeli tiket.
"Aku rase better kita bergilir beratur..kau tunggu sini kat motosikal..kalau aku penat aku telefon kau.," cadang Faris. Izzat hanya menggangguk. Faris memasuki barisan. Barisan untuk membeli tiket itu adalah kawasan terbuka tanpa atap atau rimbunan daun pokok untuk menyerap haba pancaran matahari. Matahari yang semakin meninggi membawa bersama bahang kepanasan. Muka Faris mula berbintik peluh. Disekanya dengan belakang tangan. Dia sendiri tidak menyangka begini panjang barisan yang perlu dia beratur untuk mendapatkan tiket. Rasa kesal kerana terlewat bangun menyerang hati bertalu-talu.

Sedang asyik melayang fikiran, tiba-tiba lelaki yang beratur di belakang telah tertolak Faris. Tolakan yang agak kuat itu menyebabkan Faris hilang keseimbangan badan, mendorongnya untuk jatuh merempuh barisan depan. Rempuhan itu menyebabkan tiga orang dari barisan depannya terjatuh bersama Faris.
"Eh, apa ni brader?"Soal seorang lelaki yang terjatuh. Marah.
"Sorry..sorry bang..tak sengaja..,"jawab Faris dengan cemas.
"Apa sorry..sakit tau!"sahut yang lain.
Melihat kekecohan itu seorang lelaki dari barisan belakang datang ke depan mententeram keadaan.
"Maaf abang-abang, salah saya..saya terlanggar tadi..sorry,"kata lelaki itu dengan lembut.
Suasana kembali tenang. Namun hati Faris tiba-tiba berdebar. Dia terpandang seorang gadis selang beberapa orang di hadapannya yang tertoleh ke arahnya. Mungkin terkesan dengan kekecohan tadi. Mereka saling berpandangan.



Sunday, 23 February 2014

Malam Minggu di Bukit Ampang

Nikmati keindahan mlm minggu di Bukit Ampang..


Angin lembut yg membawa hawa menyegarkn,mampu membuatkn anda berasa tenang dan nyaman..

Monday, 27 January 2014

2014 Yang Lebih Mencabar

2013 telah pun berlalu. Seberapa banyak pun kenangan pahit dan manis sepanjang 2013, namun 2013 telah pergi dan tidak mungkin  berulang kembali. 2014 datang yang pastinya membawa cabaran yang berbeza. Memang tidak dinafikan, 2014 dilihat sebagai tahun yang lebih mencabar apabila pada awal-awal lagi semua orang berbicara tentang peningkatan kos hidup pada tahun ini.

Biar apapun cabaran, jangan dilupakan tentang pepatah Melayu yang popular, "membujur lalu, melintang patah". Biar apapun rintangan, kita kena juga menghadapi. Biar apapun liku dan ranjau, kita tetap kena melalui.

Namun sebagai umat Islam, di sebalik kehidupan di dunia yang sementara, jangan dilupakan akhirat yang abadi kerana di sanalah destinasi kita yang sebenar. Manfaatlah nyawa yang dipinjam kepada kita untuk memperoleh bekalan secukupnya ke sana. Sama-samalah kita berdoa agar kita dijauhkan dari tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...