nuffnang

Thursday, 30 May 2013

Puisi 16 Mei: Buat Insan Bergelar Guru

Saat orang lain berkerja
Dia juga bekerja
Di waktu petang, saat orang lain balik kerja
Dia berada di rumah
Tapii dia masih memeriksa buku anak didiknya
Dia masih lagi bekerja
Di waktu malam, di saat orang sedang beristirehat
Dia menyemak nota-nota persediaan mengajar
Dia masih berkerja
Di waktu malam, di saat orang lain menonton televisyen
Dia sedang mengajar kelas tambahan
Dia masih berkerja
Di hujung minggu, di saat yang lain sedang bercuti
Dia di kelas tambahan bersama anak didiknya
Dia tetap berkerja

Dia lah seorang guru
Yang jatuh air matanya saat kegagalan dan kejayaan muridnya....

SELAMAT HARI GURU BUAT SEMUA GURU DAN PESARA GURU


TERIMA KASIH TAK TERHINGGA ATAS SEMUA JASA...






Panglima Negeri Pasir Empat Butir Bahagian 4: Perkhabaran Tidak Kunjung Tiba

Panglima terus menunggu perkhabaran dari pihak istana, namun tetap tidak kunjung tiba. Lalu dia berpantun,

Cantik sungguh dara pujaan
Mungkin untuk dipandang sahaja
Cantik sungguh bulan di awan
Mungkinkah jatuh ke riba jua

Pantunnya dibalas oleh seorang lagi panglima,

Terpegun melihat dara pujaan
Berdetik hati ingin menyapa
Entahlah apa kesudahan
Harapkan bulan jatuh ke riba

Dua panglima itu merenung jauh ke lautan. Melihat kalau-kalau ada bahtera dari istana melayari samudera menyampaikan berita.

Dua panglima itu menunggu lagi.

Wednesday, 22 May 2013

Bersyukur

Lelaki muda itu asyik merungut tentang kesulitan hidup dilaluinya. Sejak menamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan, sudah berpuluh-puluh resume dikirimkan kepada syarikat-syarikat untuk mencari peluang pekerjaan namun keputusannya menghampakan. Sudah puas dia menjajakan dirinya kepada syarikat-syarikat koperat namun hasilnya tetap mengecewakan. Kehampaan demi kehampaan melemahkan perasaannya, membuakkan kemarahannya dan membiakkan rasa putus asa dalam dirinya.



Suatu hari, dia merayau tanpa tentu arah di sekitar kawasan perumahan orang tuanya. Kebetulan hari itu adalah hari pasar malam di kawasan itu. Maka ramailah peniaga dan pembeli berurusan jual beli. Mata dia tertarik pada seorang pengemis di tepi laluan pasar malam itu. Pengemis dalam lingkungan umur 40-an itu sibuk meraih simpati, mengharapkan belas ihsan orang ramai yang lalu lalang. Tangannya seolah tidak letih menadah dan mengharapkan jatuhan kepingan syiling atau kepingan ringgit dari tangan orang lain di laluan itu. 

Dia memerhatikan lelaki itu. Di sebalik pakaian dan raut wajahnya yang tidak terurus, dia mempunyai sepasang tangan yang tiada cacat celanya. Malah tangan lelaki itu tampak lebih besar dan gagah dari tangannya sendiri. Kaki lelaki itu juga sama seperti insan lain, malahan agak besar dan kelihatan kuat, sesuai dengan tubuhnya yang agak tegak itu. Dia memerhatikan mata lelaki itu, sama seperti insan normal, celik, tidak buta dan tidak berkaca mata. Lalu, kenapakah dia memilih jalan hidup sebegitu? Hidup atas belas kasihan dan simpati orang? Tidak adakah walau sekelumit perasaan malu dalam dirinya? Dia tidak betah mennjawab semua persoalan itu. Dan dia juga tidak sanggup meredah kesesakan manusia di situ untuk berdiri di sisi lelaki itu dan bertanyakan sejarah hidupnya.



Kakinya melangkah menyusuri laluan lain pasar malam itu yang kurang sesak sebelum langkah kakinya terhenti dan matanya terpaku melihat sesuatu di depan matanya. Lensa matanya merakamkan seorang lelaki gigih berniaga barangan terpakai. Di sebalik kaki dan tubuhnya yang kecil, lelaki itu bergantung kudrat pada satu tangannya sahaja. Satu tangan lagi tidak kelihatan di balik lengan bajunya. Lalu hatinya tersentuh melihat ketabahan lelaki itu menempuh gelombang hidup demi kelangsungan hayat.

Lelaki muda itu seolah baru tersedar dari lamunan yang panjang. Sudah sekian lama sejak dia mula berputus asa, hari-harinya dirasakan tidak bermakna dan kosong. Didorong oleh rasa syukur, dia berazam untuk mengejar kembali impiannya yang ditinggalkan sejak kebelakangan itu.









Monday, 20 May 2013

Misteri Kucing Hilang Enid Blyton


Penulis baru selesai melengkapkan pembacaan buku Misteri Kucing Hilang. Apa yang ada pada buku bacaan untuk kanak-kanak ini? Buku-buku Lima Penyiasat oleh Enid Blyton ini ternyata mengimbau memori zaman kanak-kanak penulis. Penulis membesar bersama buku-buku ini. Gaya penulisan, penceritaan dan keunikan watak-watak yang ada dalam siri ini begitu memikat minat pembacaan.

Antara buku siri Lima Penyiasat yang ada dalam simpanan. Walaupun bukan daripada edisi asal yang penulis baca iaitu daripada penerbitan Hasrat Pelajar, buku dari edisi Fargoes dah cukup untuk dibuat koleksi.

Rupa-rupanya dah 22 tahun berlalu sejak kali pertama penulis membaca buku-buku dari siri ini. Masa begitu cepat berlalu. Namun penulis dapat rasakan buku siri penyiasatan ini tetap evergreen di kalangan mereka yang pernah membesar bersama buku-buku dari siri Lima Penyiasat ini.



Friday, 17 May 2013

Lawak Hari-hari: Biri-biri Hitam & Biru-biri Putih

Seorang gembala sedang menggembalakan biri-birinya yang berbulu hitam dan berbulu putih. Dia kemudian didatangi seorang pemuda lalu bertanya:
Pemuda : "Baguskah ternakan biri-biri engkau. Boleh tak
saya tanya beberapa soalan?"
Gembala : "Oh, boleh saja"
Pemuda : "Berapa jauh biri-biri ni berjalan setiap hari?"
Gembala : "Yang mana, yang putih atau yang hitam?"
Pemuda : "Yang putih"
Gembala :"Ah, yang putih berjalan lebih kurang enam kilometer setiap hari"
Pemuda : "Dan yang hitam?"
Gembala : "Yang hitam pun sama."
Pemuda : "Dan berapa banyak rumput mereka makan setiap hari?"
Gembala : "Yang mana, yang putih atau yang hitam?"
Pemuda : "Yang putih."
Gembala : "Ah, yang putih makan lebih kurang empat kilo rumput setiap hari."
Pemuda : "Dan yang hitam?"
Gembala : "Yang hitam pun sama."
Pemuda : "Dan berapa banyak bulu yang mereka hasilkan setiap tahun?"
Gembala : "Yang mana, yang putih atau yang hitam?"
Pemuda : "Yang putih."
Gembala : "Aaa...menurut perkiraan saya, yang putih menghasilkan sekitar enam kilo bulu setiap tahun kalau mereka dicukur."
Pemuda : "Dan yang hitam?"
Gembala : "Yang hitam pun sama."
Pemuda : (Dengan perasaan geram ) "Kenapa engkau membezakan biri-biri engkau yang putih dengan yang hitam setiap kali nak jawab soalan saya, padahal jawapan semuanya sama saja"
Gembala :"Mestilah saya beza-bezakan sebab biri-biri yang putih itu adalah milik saya."
Pemuda : "Ooo, begitu, fahamlah saya,kalau yang hitam tu pulak siapa punya?"
Gembala : "Yang hitam pun sama, saya punya juga"
Pemuda : (benggang, geleng kepala dan berlalu)

Sumber: Internet

Panglima Negeri Pasir Empat Butir Bahagian 3: Bahtera Karam

Panglima berdukacita sekejap. Dia dikhabarkan satu bahtera yang dicanang-canang untuk membawanya belajar ke salah satu negeri jajahan takluk negeri Pasir Empat Butir telah karam dan tenggelam di lautan.

Lalu hatinya berpuisi lagi.
"Apa diharap padi seberang..."
"Entahkan jadi entahkan tidak..."

Namun darah pahlawan tetap mengalir dalam badannya. Tidak sesekali dia berputus harap. Masih ada satu lagi bahtera yang sedang menunggu pelayarannya nanti. Dia tetap menanti dengan seribu harapan.

Tuesday, 14 May 2013

Panglima Negeri Empat Butir Pasir Bahagian 2

Panglima itu dapat merasakan titah dari istana akan tiba tidak lama lagi. Mengikut perkiraannya, titah itu akan sampai kepadanya sebelum habis satu purnama ini. 


Tujuh petala langit
Tujuh petala bumi
Lembah curam jadi mainan
Laut dalam bertukar taman
Pantang onak jadi musibah
Pantang ranjau jadi bahana
Pantang keris terhunus sudah
Padah darah jadi mandian

Titah istana menunggu sembah
Batu gemala menanti junjung

Friday, 10 May 2013

Misteri Si Ayam Tua Bahagian Kedua

Sama ada di dalam atau di luar pengetahuan si penternak itu, si ayam tua itu sudah banyak membuat onar di kawasan penternakan ayam itu. Ia suka memburuk-burukkan ayam-ayam lain dan mengadu hal ayam lain kepada si penternak sehinggakan penternak itu memandang penuh sangsi kepada sesetengah ayam. 

Di waktu si ayam tua ini masih boleh mengeluarkan telur dari perutnya, ia selalu mengeluarkan bunyi yang memekakkan untuk mengumumkan ia sudah bertelur. Telur yang dihasilkan selalunya tidak banyak. Apabila ia mengeramkan telur itu, banyak telurnya menjadi telur busuk lalu tidak boleh menetaskan anak ayam.

Menyedari kekurangannya itu, ia selalu mencuri telur ayam-ayam lain dan mengeramkan telur-telur itu. Lalu, apabila telur itu menetas, ia dengan bangganya mengaku anak-anak ayam itu adalah baka darinya.

........Selanjutnya di Misteri Si Ayam Tua Bahagian Ketiga..



Panglima Negeri Pasir Empat Butir


Maka hari pun berlalu dan terus berlalu. Hati panglima itu semakin bergelora. Hendak sahaja dia pergi ke istana negeri Pasir Empat Butir dan mendengar sendiri perkhabaran dari istana, daripada resah menunggu perintah. Khabarnya pihak istana mahu menghantar segerombolan pendekar-pendekar handal dari negeri itu ke negeri-negeri jajahan takluknya untuk mengawal keamanan negeri-negeri itu. 

"Kalau padi katakan padi..."
"Tidak hamba tertampi-tampi..."
Begitulah hatinya berpuisi. Resahnya hati panglima itu ibarat sampan di tengah lautan, bergolak dan bergelora. Sudah puas dia mengusir perasaan gelisah di hatinya, namun dambaan hatinya untuk sama-sama menyumbang bakti di negeri-negeri itu tidak tertahan lagi. Dia sudah tidak sabar menunggu titah dari istana.

Sudah lama dia mendengar perkhabaran akan kehendak pihak istana itu namun harinya tidak kunjung-kunjung tiba. 
"Apakah betul perkhabaran yang hamba dengar ini?Atau hamba hanya bermimpi di waktu siang sahaja?", getus hatinya.

Namun hatinya terus berharap dan berharap. Mungkin esok, atau lusa atau selepas lusa, minggu depan atau selepas minggu depan, perkhabaran itu akan menjadi nyata. Waktu itu dia akan berangkat ke negeri-negeri yang dititahkan kepadanya itu dengan rasa syukur, gembira dan teruja.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...