nuffnang

Wednesday 10 April 2013

Pengalaman Adakala Bukan Mendewasakan

"Aku ni lebih dulu makan garam dari kau.." 
Ini adalah ayat klise yang pernah kita dengar dalam drama-drama di tv atau dalam hidup seharian. Ya, memang tidak dinafikan mereka yang lebih dulu hidup atau lebih tua akan kaya dengan pengalaman. Pengalaman pastinya sesuatu yang bernilai dan mahal untuk dipelajari.

Namun ada sesetengah orang yang terlalu ego dengan pengalaman mereka. Mereka ini adalah golongan tegar, kebal dan kukuh dari menerima kritikan dan mempelajari perkara baru. Dengan pengalaman yang ada, mereka akan mencurahkan pada orang lain mengikut acuan mereka.

Walau bagaimanapun, tidak semua pengalaman adalah baik untuk diterima dan dipelajari.

Senario 1: Seorang guru 'berpengalaman' mengajar subjek yang sama selama bertahun-tahun dan memberi kaedah pembelajaran yang sama kepada anak-anak muridnya selama bertahun-tahun. Tiada apa yang berubah kecuali murid-muridnya setiap tahun adalah berbeza.

Senario 2: Di suatu syarikat, pertambahan pelanggan setiap tahun menyebabkan unit-unit seliaan syarikat semakin bertambah. Namun, bilangan pegawai tetap tidak berubah. Tetapi, pengurus syarikat yang berpengalaman tetap menggunakan kaedah selian yang sama seperti di awal penubuhan syarikat.

Senario 3: Seorang yang lebih senior dalam kerjanya mencurahkan segala pengalamannya kepada pekerja yang lebih junior. Namun pengetahuannya sendiri tidak pernah bertambah sejak bertahun-tahun dari awal permulaan kariernya.

Analogi 1: Seekor gajah dirantai kaki sejak gajah itu 'kanak-kanak'. Sejak 'kanak-kanak' gajah itu berusaha melepaskan kakinya, namun tidak berjaya. Bila meningkat dewasa, rantai yang mengikat kakinya sudah terlalu kecil berbanding kakinya yang besar. Dengan sekali hentakan, sudah pasti rantai itu terputus. Namun, gajah tersebut tidak berusaha lagi untuk melepaskan dirinya.

Analogi 2: Seekor anak singa jantan telah dijumpai terbiar oleh sekeluarga kambing. Anak kambing kasihan melihat anak singa itu lalu memujuk si ibu kambing untuk memelihara anak singa itu. Lalu dijadikanlah anak kambing itu sebagai anak angkat ibu kambing itu. Anak singa itupun membesar dalam keluarga kambing itu. Apabila dewasa, anak singa itu membesar seperti seekor singa jantan dengan taring yang panjang, berjambang dan berkuku. Namun, si singa itu tidak mengaum tetapi mengembik seperti seekor kambing.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...