Masa berlalu begitu pantas. Kesibukan membuatkan kita seolah tidak sedar usia kita kian meningkat. Sedar atau tidak kita sebenarnya semakin tua seiring dengan peredaran masa. Hari demi hari berlalu. Tidak semua jalan yang dilalui setiap hari lurus bentuknya. Pastinya ade selekoh dan liku-liku. Pastinya ada duri-duri yang menanti di sepanjang jalan. Yang pasti, cabaran tetap menanti sama ada di jalan yang lurus atau tersembunyi di sebalik selekoh. Ya, cabaran.
Ramai orang tidak begitu gembira dengan cabaran. Ramai yang hendakkan hidup yang mudah. Ramai yang mempunyai mimpi. Ramai juga yang hendakkan mimpi menjadi kenyataan. Lebih ramai yang mahu mimpi mereka menjadi nyata dengan mudah.
Namun kehidupan bukan begitu. Kita boleh mimpikan apa yang kita mahu. Namun tidak semua yang boleh menjadi nyata. Ada mimpi yang menjadi nyata namun tidak semua boleh diperoleh semudah mengerlipkan mata. Namun selagi kita makhluk yang masih bernafas, harapan tidak boleh terpadam. Selagi mampu, cita-cita wajar dikejar dan digapai.
Yang pastinya kehidupan itu sendiri bukan sesuatu yang mudah. Sejak kecil lagi kita diajarkan dengan kesukaran dan cabaran. Kita lahir dari rahim ibu dalam semua kesukaran. Proses kejadian kita sendiri adalah sesuatu yang sangat mencabar. Kita adalah satu daripada berjuta-juta sperma yang saling bersaing dan berjuang untuk bercantum dengan satu ovum. Ya, kita berjaya sebab satu sperma daripada berjuta-juta sperma itu adalah sel asal yang membentuk kita menjadi manusia. Proses kelahiran kita juga bukan sesuatu yang mudah. Bahkan berapa ramai ibu-ibu yang terputus nafas dalam melahirkan seorang anak. Kita berjaya dilahirkan di dunia melalui perjuangan yang sangat memeritkan.
Perubahan dari alam bayi ke alam kanak-kanak dan seterusnya menjadi dewasa juga adalah sebuah perjuangan. Kita sudah pasti tidak dapat mengingati apa yang berlaku di alam awal kanak-kanak kita. Tetapi alam menyaksikan seorang kanak-kanak kecil jatuh berkali-kali di saat kakinya melangkah untuk berjalan sendiri.
Hidup adalah perjuangan. Di saat kita terduduk menyaksikan impian kita menjadi kabur atau mimpi kita masih belum menjadi nyata, cuba kita merenung dan berfikir sejenak. Layang-layang misalnya. Kita pernah bermain layang-layang atau sekurang-kurangnya melihat layang-layang dimainkan. Layang-layang terbang bila angin bertiup. Namun layang-layang terbang bukan mengikut arah angin tetapi menentang arah angin. Dengan perkataan lain ialah menongkah arus. Bermakna, itu adalah perjuangan melawan cabaran atau menghadapi cabaran. Orang yang berjaya menghadapi cabaran akan menyaksikan mimpi-mimpi dia menjadi nyata, satu persatu ataupun sekurang-kurangnya dia berjuang menggapai impiannya. Bukan untuk menyaksikan impiannya menjadi kabur atau gugur satu demi satu.
Teruskan usaha menggapai impian.